Saturday, 28 September 2019

PM digesa nyata pendirian mengenai Tommy

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu menyatakan pendirian terhadap Tan Sri Tommy Thomas yang secara jelas menyalah guna kuasa sebagai Peguam Negara.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, hal ini penting kerana Dr. Mahathir yang melantik Tommy memikul tugas tersebut maka beliau perlu menjelaskan apakah tindakan yang wajar diambil terhadap Peguam Negara itu.

Kata beliau, bukti telah menunjukkan Tommy prejudis dalam kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim, justeru Peguam Negara itu sama sekali tidak boleh terlibat dalam kes tersebut.



“Sebagai Peguam Negara, Tommy seharusnya bersikap berkecuali tetapi kegagalannya itu telah memalu dan mencemarkan nama negara.

“Sekiranya Dr. Mahathir tidak mahu mengambil sebarang tindakan terhadap Tommy, apakah jaminan Perdana Menteri bahawa Tommy tidak akan mencampuri dalam kes Allahyarham Muhammad Adib yang akan dibicarakan nanti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, Dr. Mahathir diharap dapat berlaku adil dan telus supaya sistem perundangan negara terus dipandang mulia oleh masyarakat.



“Ini berikutan rakyat ketika ini sudah mulai meragui ketelusan undang-undang negara,” katanya.

Mahkamah Koroner hari ini memutuskan kematian anggota bomba, Muhammad Adib adalah akibat dipukul oleh sekumpulan lelaki.

Sehubungan itu, Koroner Rofiah Mohamad menyarankan agar Ketua Polis Negara dan Jabatan Peguam Negara membuat siasatan lanjut yang difikirkan perlu.





Pada 16 Julai lalu bapa anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib, Mohd. Kassim Abdul Hamid memfailkan prosiding komital terhadap Tommy atas kenyataannya berhubung kematian anaknya itu pada November tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan peguam mewakili keluarga mangsa, Kamaruzaman A. Wahab dihadapan Koroner Rofiah Mohamad.

Pemfailan komital itu dibuat berikutan afidavit yang difailkan Jabatan Peguam Negara dan disahkan oleh bekas Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah menyatakan bahawa kematian Muhammad Adib bukan akibat dipukul oleh mana-mana orang, pada 3 April lalu.- UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment