Friday, 27 September 2019

Polis Marin P. Pinang rampas rokok, minuman keras bernilai RM57,000..

PULAU PINANG 27 Sept. - Pasukan Polis Marin negeri merampas sejumlah rokok dan minuman keras dengan nilai keseluruhan kira-kira RM57,000 dalam serbuan di dua buah premis di Balik Pulau, di sini semalam.

Dalam serbuan Op Landai kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, dua individu disyaki pemilik kedai runcit iaitu wanita berusia 58 tahun dan lelaki berusia 46 tahun ditahan bagi membantu siasatan.


Komander Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, serbuan itu dilakukan selepas pihaknya menerima laporan kedai terbabit dipercayai menjual rokok dan minuman keras seludup.

Menurut beliau, dalam serbuan itu, sebanyak 90 karton yang mengandungi18,000 batang rokok putih dan 1,157 botol minuman keras pelbagai jenama dirampas membabitkan nilai RM56,759.27 termasuk cukai.

"Ketika serbuan, barangan itu ditemukan disimpan di bawah kaunter pameran di bahagian hadapan kedai," katanya pada sidang akhbar di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Batu Uban di sini hari ini.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Dalam perkembangan lain, Rosman berkata, sehingga Ogos lalu, pihaknya telah membuat serbuan membabitkan 34 kes di bawah Akta Kastam 1967 dengan nilai rampasan berjumlah lebih RM11 juta.

Selain itu, jelas beliau, pihaknya juga akan terus menjalankan operasi dan membuat pemeriksaan terhadap kapal-kapal kargo (barter trade) bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang terutamanya dari aspek penyeludupan barang dan kemasukan warga asing. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment