Thursday, 26 September 2019

Polis: Penyerang berparang di Kilang Bayan Lepas terpengaruh video dari Timur Tengah


Polis memandang serius dakwaan dibuat beberapa individu di media sosial berhubung kejadian tembakan di Bayan Lepas, Pulau Pinang baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, berkata pihak yang memuat naik kenyataan tidak benar berhubung kejadian itu mempunyai niat "amat buruk".

"Ada pihak-pihak memuat naik artikel tidak tepat dan tidak betul (di media sosial berhubung kejadian itu) dengan niat untuk sakitkan hati pembaca... amat buruk niatnya," kata Abdul Hamid semasa menghadiri sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata jabatan siasatan jenayah sudah mengenal pasti individu terbabit dan pihak yang terbabit akan dipanggil untuk memberi keterangan tidak lama lagi.

Menurut Abdul Hamid kes yang berlaku di Pulau Pinang itu adalah terpencil dan penyerang terpengaruh dengan banyak video ganas dari Timur Tengah.

Katanya, suspek banyak menonton video yang didakwa membabitkan kekejaman terhadap orang Islam di rantau tersebut.

"Video ini kalau tak difahami, boleh menjadikan kemarahan," katanya.

Tak ada kaitan

Justeru Abdul Hamid menasihati orang ramai agar tidak membuat tanggapan sendiri kononnya ada mana-mana segmen masyarakat sedang dianiaya oleh pihak tertentu sehingga ia boleh menjadi pertelagahan antara agama.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan pengguna media sosial menyebarkan kandungan tulisan mendakwa seorang lelaki berparang - yang ditembak mati oleh polis selepas mengamuk dan membunuh penyelianya - adalah syahid.

Hantaran itu mendakwa lelaki yang menyerang itu bertindak sedemikian selepas lelaki yang ditetak itu menghina Nabi Muhammad SAW.

Dalam kejadian Isnin lalu, seorang pekerja kilang berusia 25 tahun ditembak mati selepas menetak penyelianya yang berusia 47 tahun. Seorang pengurus keselamatan berusia 53 tahun turut cedera dalam kejadian berkenaan.

Polis Pulau Pinang berkata, penyerang dipercayai mengalami kemurungan sejak beberapa bulan lalu dan tidak datang bekerja selama seminggu.

Abdul Hamid berkata beliau mendapat beberapa mesej yang meminta agar polis segera mengambil tindakan berhubung penularan maklumat tersebut.

"Sebenarnya ini insiden terpencil.

"Beliau (penyerang) terpengaruh dengan video-video di media sosial yang tak ada kaitan pun dengan negara kita," katanya.

Malaysiakini

No comments:

Post a Comment