Wednesday, 18 September 2019

Polis siasat insiden dua lelaki bertumbuk di plaza tol Bukit Kiara

Sebuah video tular dalam laman sosial yang memaparkan dua orang lelaki bertengkar dan bertumbuk di kawasan Plaza Tol Bukit Kiara, Sri Hartamas dekat sini semalam.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku kira-kira pukul 4.30 petang ketika melibatkan seorang lelaki berusia 30 tahun yang memandu van jenis Toyota Hiace bersama seorang lagi lelaki berusia 38 tahun yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX5.


Difahamkan, pemandu van sedang dalam perjalanan dari Wangsa Maju untuk ke One Utama, Bandar Utama sebelum dipotong pemandu SUV di Kerinchi Link sambil menekan brek di hadapan van tersebut.

Kedua-duanya kemudian berhenti di Plaza Tol Bukit Kiara dan bertengkar sebelum bergaduh.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe berkata, kedua-dua individu telah membuat laporan polis pada semalam dan hari ini.

“Pemandu van telah mengalami kecederaan di bahagian lutut serta muka manakala pemandu kereta itu pula mengalami kecederaan di bahagian kepala, tangan dan kaki,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden Ahmad Osman di talian 011-36508678 atau Ibu pejabat Polis Daerah Brickfields di talian 03-22979222. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment