Thursday, 5 September 2019

Subsidi petrol bersasar ditangguh kerana kekurangan data

Kerajaan menangguhkan pelaksanaan skim subsidi petrol bersasar kerana kekurangan data mengenai kumpulan sasaran selain data isi rumah kumpulan berpendapatan rendah (B40).

Kekurangan data itu menyebabkan kerajaan tidak dapat menentukan sistem pembayaran untuk kumpulan sasaran, lapor The Insight Malaysia hari ini.

“Walaupun KPNDHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) sudah bersedia, kerajaan tak boleh teruskan kerana sistem subsidi kekurangan data kumpulan M40,” kata sumber.


Laporan sebelum ini menyebut kaedah pembayaran yang dicadangkan KPDNHEP adalah pemberian tunai secara terus kepada kumpulan B40 dengan menggunakan data program Bantuan Sara Hidup (BSH).

Data itu kemudiannya akan disemak dengan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menentukan jumlah kenderaan dalam sesuatu isi rumah.

Gabungan data itu membolehkan kementerian menentukan berapa banyak perlu dibayar kepada isi rumah yang layak, berdasarkan jumlah dan jenis kenderaan dimiliki mereka.



Subsidi petrol bersasar dicadangkan dalam Belanjawan 2020 dan hanya terpakai kepada kereta di bawah kuasa 1,500cc dan motosikal di bawah 125cc.

Setiap pemilik kereta hanya layak mendapat RM30 manakala motosikal sebanyak RM12 dengan maksimum untuk dua buah kereta dan dua motosikal bagi setiap isi rumah.

Seorang lagi sumber berkata terdapat cadangan kepada kabinet supaya kumpulan M40 diberikan subsidi menggunakan sistem kad.

“Tetapi, pembekal minyak tidak bersetuju untuk memasang sistem bayaran kad tambahan di stesen,” kata sumber itu.

Kata sumber berkenaan, pelaksanaan sistem kad juga sukar dilaksanakan di kawasan luar bandar kerana penduduk cenderung membeli petrol dari kedai runcit atau peniaga di tepi jalan kerana tiada kemudahan stesen minyak.

Kerajaan kini memberi subsidi harga minyak RON95 manakala harga RON97 diapungkan pada setiap minggu.

SUMBER

No comments:

Post a Comment