Tuesday, 17 September 2019

Syarikat Pengeluar Cat Orang Melayu Islam Di Malaysia


Bina Paint adalah jenama pengeluar cat bagi cat kalis air, cat gelanggang sukan, cat hiasan dan cat perlindungan setanding jenama cat antarabangsa tetapi dengan harga 10 peratus lebih murah.

Bina Paint adalah pengeluar cat milik orang Melayu yang diasaskan oleh Pengerusi dan juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rosli Adam.

Encik Rosli mempunyai pengalaman selama 15 tahun di dalam kontraktor yang pakar di dalam bidang kalis air, gelanggang sukan dan tangki air.


Menurutnya, ketika berhadapan dengan era kegawatan ekonomi pada 1997, dia sangat terkesan dengan keadaan ekonomi ketika itu kerana banyak menggunakan bahan-bahan import kalis air dan cat dari negara luar.

Bermula daripada itu, Rosli mendapat idea untuk membuka kilang sendiri dengan menghasilkan produk-produk yang diimportnya di dalam negara.

Pada masa sama, dia melihat potensi yang lebih besar sekiranya produk kalis air dapat dihasilkan di negara sendiri, sekali gus menjimatkan kos.

Dengan bermodalkan RM150,000, Rosli membuka kilang pertamanya di Bandar Baru Bangi pada 2000 yang mengeluarkan produk kalis air.

Produknya itu dilihat mendapat sambutan yang baik dan mendapat banyak projek daripada syarikat tempatan dan agensi kerajaan.

Melihat peluang lebih besar jika mengeluarkan cat sendiri, Rosli meluaskan segmen pengeluarannya dengan menghasilkan cat.

Selepas melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama hampir tiga tahun, akhirnya pada 2009, Rosli dapat menghasilkan cat hiasan keluarannya sendiri.

“Kami melakukan kerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi mendapatkan khidmat nasihat di dalam menghasilkan cat kalis air yang berkualiti.

“Sehingga benar-benar mencapai standard barulah kami yakin untuk mengeluarkannya"

Bina Paint mempunyai tiga kilang cat yang terletak di kawasan berhampiran yang dibelinya pada 2005 dengan harga pasaran ketika itu sebanyak RM450,000 dan selang beberapa tahun, syarikat itu turut membeli sebuah lagi kilang pada 2009 dengan bernilai RM650,000.
Pada 2013, bagi menampung kapasiti yang semakin bertambah, Bina Paint telah membeli satu lagi kilang baharu dengan bernilai RM5.65 juta.

“Kami jangka kilang baharu itu akan beroperasi sepenuhnya menjelang pertengahan tahun ini.

“Manakala, dua kilang lama akan dijadikan sebagai pusat jualan dan gudang penyimpanan cat,” katanya.

Tembusi 240 kedai perkakasan

Rosli berkata, tujuh tahun dalam industri ini adalah tempoh untuk syarikatnya mengukuhkan jenama di pasaran tempatan.

“Tidak ramai lagi yang tahu tentang cat Bina Paint, kami harap untuk menjalankan aktiviti promosi secara besar-besaran bagi memberikan pendedahan jenama kepada orang ramai.

“Kami harap dalam tempoh 10 tahun Bina Paint telah dikenali setanding dengan jenama antarabangsa yang lain,” katanya.


Sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment