Tuesday, 17 September 2019

Tarif elektrik berbeza ikut waktu

Pengguna elektrik bagi sektor domestik akan dikenakan tarif berbeza mengikut waktu penggunaan apabila Tenaga Nasional Bhd (TNB) dijangka memperkenalkan mekanisme harga berubah-ubah bermula suku pertama 2021.

Menerusi mekanisme itu, penggunaan elektrik pada waktu puncak iaitu antara jam 12 tengah hari hingga 6 petang akan dikenakan tarif lebih tinggi berbanding di luar waktu puncak. Ketika ini, pengguna dikenakan tarif secara purata mengikut jalur penggunaan. Kadar tarif asas kini adalah 39.45 sen per kilowatt jam (kWh).


Bagi jalur penggunaan 200kWh pertama, kadar tarif ialah 21.80 sen/kWh; bagi jalur 201-300kWh, kadarnya ialah 33.40 sen manakala bagi jalur 301-600kWh ialah pada 51.60 sen bagi setiap kWh.


Mekanisme baharu itu adalah antara penyelesaian inovatif yang dirumus di bawah inisiatif Industri Bekalan Elektrik Malaysia (MESI) 2.0 yang memberi peluang kepada rakyat menggunakan elektrik pada tarif lebih rendah di luar waktu puncak berdasarkan tempoh masa guna tenaga (Enhanced Time of Use, ETOU).

Ketika ini, TNB melaksanakan skim EToU kepada pelanggan komersial dan industri yang dikenakan kadar tarif berbeza mengikut tiga zon waktu guna iaitu waktu puncak, pertengahan puncak dan di luar puncak.


Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata konsep tarif elektrik mengikut permintaan pasaran itu akan lebih mudah difahami selepas hala tuju peruncitan tenaga diperkenalkan pada suku keempat 2020.

Berbeza kini, katanya, pengguna domestik membayar tarif tenaga elektrik mereka pada kadar purata sedangkan harga elektrik sangat dinamik dan berubah-ubah setiap setengah jam bergantung kepada permintaan pasaran.

“Dalam sehari kita lihat ada waktunya permintaan rendah, harga elektrik akan turun namun pengguna domestik membayar tarifnya secara purata.

“Kelak, pengguna boleh memilih untuk merebut peluang mendapatkan penjimatan guna tenaga dengan mengubah sikap mereka menggunakan elektrik pada waktu tarif yang rendah.

“MESI 2.0 dirangka supaya menggalakkan inovasi memberi manfaat kepada pengguna dan membuka peluang perniagaan supaya wujud peruncit tenaga lain menawarkan pakej tenaga paling inovatif kelak,” katanya dalam temu bual eksklusif di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Bee Yin, berkata kerajaan memberi jaminan, insentif sedia ada untuk kelompok pengguna terendah seperti subsidi elektrik program e-Kasih sebanyak RM40 dan subsidi pengguna elektrik bawah 600 kWj akan diteruskan.

“Kadar tarif bagi pengguna dalam Jalur Penggunaan Asas 200 kWj pertama pada 21.8 sen setiap kWj kini kekal sebagai caj terendah di rantau ini,” katanya.

BH

1 comment:

  1. Masa yg penggunaan rendah tu.. Komfem malam kan? Sy nak tido la masa tu.. Penat. Knp plak siang yg mahal? Pelik aku

    ReplyDelete