Monday, 30 September 2019

Tidak hormat lagu Negaraku boleh dipenjara

Tindakan lapan individu termasuk seorang wanita yang tidak menghormati dan enggan berdiri tegak ketika nyanyian lagu Negaraku berkumandang boleh dikenakan hukuman penjara serta denda jika sabit kesalahan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, mereka yang tidak berdiri bagi menghormati lagu Negaraku itu boleh ditahan mengikut Akta Lagu Kebangsaan 1968.

“Berdasarkan akta itu, individu berkenaan boleh ditahan jika perbuatan itu dilakukan dihadapan pegawai polis yang melihatnya.



“Namun, buat masa ini polis tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian itu yang dipercayai berlaku dalam satu majlis di Sarawak,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Mior Faridalatrash memberitahu, satu kertas siasatan mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dibuka pihaknya susulan tindakan pengurusan Sekolah Kebangsaan Perempuan (P) Methodist, Pulau Pinang yang melarang bacaan doa mengikut agama Islam sebaliknya pelajar perlu melakukannya mengikut bacaan agama Kristian.

Ujarnya, dalam Majlis Hari Kecemerlangan Pelajar 2019 tersebut, pengurusan sekolah terbabit dikatakan melarang bacaan doa mengikut Islam.



“Berhubung kejadian itu, polis menerima banyak laporan termasuk daripada ibu bapa murid sekolah terbabit.

“Sehingga kini, polis sudah memanggil dan merakamkan percakapan hadirin yang menghadiri majlis itu termasuk pengurusan sekolah serta ibu bapa murid-murid berkenaan,” katanya.-UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment