Saturday, 28 September 2019

Tokan 18 tahun antara 114 pengedar dadah ditahan di Pulau Pinang

Tokan atau pengedar dadah runcit berusia 18 tahun antara seramai 114 orang yang ditahan polis dalam operasi bersepadu memburu pengedar dadah selama dua hari sehingga semalam di negeri ini.

Op Damn Tokan itu digerakkan dalam usaha polis menyekat bekalan dadah yang dijual secara runcit atau untuk kegunaan peribadi penagih dadah dengan menyukarkan penjualannya.





Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd., kesemua tokan yang ditahan berusia antara 18 hingga 45 tahun dan pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah seberat 2,702 gram (g) bernilai RM109,259.

Selain itu, katanya, polis turut menyita pelbagai kenderaan termasuk motosikal dan kereta bernilai RM170,700 yang digunakan oleh suspek dalam melakukan kegiatan tersebut.

"Kita memperhebatkan rampasan harta benda dengan menyita sama ada tokan ini guna basikal, motosikal dan kenderaan lain atau rumah tempat mereka berniaga dadah.

"Selain itu, kita merampas wang dalam akaun sebanyak RM1,548.76 dan wang tunai berjumlah RM3,800," katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Khalil berkata, sejak awal tahun ini sehingga kelmarin, seramai 10,096 orang ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah di negeri ini.

Jelas beliau, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 58.202 kilogram (kg) dadah sintetik serta 249 kg dadah tradisional yang keseluruhannya bernilai RM10.6 juta turut berjaya dirampas. - UTUSAN ONLINE






No comments:

Post a Comment