Thursday, 31 October 2019

2 wanita dijatuhkan hukuman mati selepas didapati bersalah mengedar dadah


Dua wanita dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis heroin dan monaacetylmorphines seberat 294.9 gram, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Akhtar Tahir menjatuhkan hukuman itu terhadap Zawani Zulkifli, 33, dan Nur Zahirah Yusoff, 32, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kedua-dua tertuduh di akhir kes pembelaan.

Dalam keputusannya, Akhtar berkata tiada keterangan yang menunjukkan Zawani dan Nur Zahirah secara sukarela membantu dalam membanteras aktiviti pengedaran dadah.



"Selain mengambil kira jenis dadah iaitu heroin dan morfin, pihak pembelaan juga gagal menimbulkan apa-apa keraguan munasabah dan dengan itu kedua-dua tertuduh didapati bersalah," katanya.




Dua rakan itu kelihatan menitiskan air mata sebaik hukuman berkenaan dijatuhkan ke atas mereka.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar 212.7 gram heroin dan 82.2 gram monaacetylmorphines di sebuah kediaman di Park View Tower, Jalan Harbour Place Off Jalan Assumption, Seberang Perai Utara dekat sini, pada pukul 4.45 petang, 18 Dis 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Yasinnisa Begam Seeni Mohideen manakala Zawani diwakili peguam V. Parthipan dan Nur Zahirah diwakili peguam Simon Murali.

- Bernama

No comments:

Post a Comment