Tuesday, 22 October 2019

#BukitDumbar Lelaki tunggu bicara dedah simpan bom, 689 peluru depan rumah

Penemuan dua butir bom tangan bersama 689 butir peluru pelbagai jenis dalam stor pili bomba di pangsapuri Sinar, Bukit Dumbar di sini kelmarin hasil maklumat daripada seorang pengedar dadah yang ketika ini ditahan di penjara.


Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata lelaki berusia 54 tahun itu ditahan pada 1 Oktober lepas itu ketika ini sedang menunggu untuk perbicaraan di mahkamah menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.





“Lelaki yang mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah itu memberikan maklumat kepada polis terdapat bom dan sejumlah peluru dalam stor pili bomba yang terletak di hadapan rumahnya di pangsapuri Sinar itu,” katanya di sini malam tadi.


Beliau berkata ekoran maklumat itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Pulau Pinang telah pergi ke lokasi membuat pemeriksaan sebelum menemui bom tangan, pelbagai peluru serta tiga unit magazine di stor tersebut.


Menurutnya, pegawai polis mengetuai pemeriksaan itu menghubungi Unit Pemusnah Bom untuk memeriksa dua unit bom tangan berkenaan bagi memastikan sama ada ia berbahaya atau sebaliknya.

Che Zaimani berkata Unit Pemusnah Bom telah mengambil dua butir bom tangan itu dan membawa balik ke Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang untuk siasatan dan seterusnya akan dimusnahkan di tapak pemusnahan bom.



Katanya siasatan awal polis mendapati bom, peluru dan magazine yang dirampas itu dipercayai untuk kegiatan pengedaran dadah lelaki tersebut.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat menurut  Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971  Dan 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya. — Bernama

No comments:

Post a Comment