Tuesday, 15 October 2019

#Butterworth Bumbung Dewan Ahmad Badawi runtuh, enam pekerja sempat selamatkan diri



BUTTERWORTH, 15 Okt -- Sebahagian struktur bumbung dan siling Dewan Dato Haji Ahmad Badawi di sini, yang dalam proses baik pulih, runtuh hari ini namun enam pekerja yang berada di dewan itu dapat menyelamatkan diri tanpa kecederaan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud hari ini berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi sewaktu para pekerja berkenaan menjalankan kerja membaiki kebocoran di siling dewan berkenaan.


"Dewan berusia 18 tahun itu selesai dinaiktaraf pada 14 Mac tahun ini dan diserahkan kepada MBSP 16 Julai lepas namun ia masih dalam tempoh tanggungan kecacatan sehingga 13 Mac 2020," katanya kepada pemberita selepas melawat dewan itu.

Dewan itu, yang menjadi tumpuan awam untuk majlis keramaian selain untuk program anjuran agensi kerajaan dan swasta, telah ditutup untuk sementara waktu bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dan naiktaraf dijalankan.

"Projek naik taraf ini diuruskan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dengan kos naik taraf RM4.4 juta membabitkan kerja-kerja menggantikan bumbung termasuk kerangka, dewan utama, bilik, padang, kerja elektrikal, mekanikal dan landskap," katanya.

Katanya, MBSP telah menghubungi pemaju dan kontraktror utama bangunan bagi mendapatkan laporan penuh kejadian dan memberikan tempoh dua minggu untuk mereka menyiapkan laporan itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment