Saturday, 26 October 2019

Chow Kon Yeow dakwa KDN terlalu pantas haramkan komik kontroversi

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow hari ini berpendapat tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan komik “Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama”, terlalu pantas.

Beliau berkata pihak berkuasa seharusnya perlu meneliti niat sebenar buku itu diterbitkan sebelum mengambil keputusan, dan menurutnya buku itu diterbitkan semata-mata bagi membolehkan orang awam yang kurang tahu mengenai kemajuan negara China faham bahawa negara itu yang kini sudah menjadi gergasi ekonomi dunia.



Katanya, sebelum ini pihak berkuasa mengumumkan beberapa pakar sejarah sudah dikenal pasti bagi membantu siasatan tetapi buku ini telahpun diharamkan sebelum siasatan selesai.

“Buku (komik) ini diharamkan dengan begitu cepat… orang yang ada buku itu pun tidak sempat habiskan. Dia (KDN) sepatutnya meneliti buku itu dengan teliti, saya difahamkan dia nak jemput pakar-pakar sejarah untuk membantu, tetapi sudah haram, bantuan apa lagi..,” katanya kepada pemberita hari ini.


Katanya dengan adanya pemahaman mengenai negara China sebagai gergasi ekonomi dunia, Malaysia boleh merapatkan hubungan dua hala dan menjana peluang ekonomi daripada hasil pertalian baik itu.

Rabu lepas, KDN mewartakan perintah larangan terhadap komik itu kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.

Sementara itu, Chow yang juga merupakan Adun Padang Kota berkata pihak kerajaan negeri tidak mempunyai kaitan dengan Muzium Kebudayaan Komik di Komplek Tun Abdul Razak (Komtar) milik bekas aktivis DAP, Hew Kuan Yau.

Beliau menerangkan kerajaan negeri sekadar menyokong dari segi sewa kerana melihat pembukaan muzium ini di Komtar adalah selaras dengan usaha menaik taraf Komtar, dan menggangap ia adalah sebahagian daripada produk pelancongan Pulau Pinang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Chow melahirkan rasa kecewa terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Penang Forum yang membuat tuduhan tidak berasas mengenai projek Transit Rel Ringan (LRT) yang dirancang dari Komtar ke Bayan Lepas.

Beliau berkata Penang Forum mempersoalkan kenapa EIA untuk LRT gagal dipamerkan di pemeriksaan awam projek berkenaan yang sedang dijalankan dari 19 Ogos hingga 19 Nov, sedangkan menurutnya paparan awam untuk kajian impak alam sekitar (EIA) projek LRT sudah dilakukan pada Ogos 2017.


“Pemeriksaan awam ini tidak membabitkan EIA kerana ia sudah dibuat pada 2017. Apa yang dipamerkan sekarang adalah berhubung dengan LRT sistem rel LRT yang perlu dipamer selama tiga bulan untuk maklum balas awam,” katanya kepada pemberita hari ini.

Wakil Penang Forum Khoo Salma Nasution dalam satu aktikel bertajuk “Penang’s Bayan Lepas LRT: Glorious legacy or white elephant project” yang disiarkan dalam satu portal berbahasa Inggeris pada 22 Oktober lepas mempersoalkan berkenaan laporan EIA projek LRT yang tidak dipamerkan dalam pemeriksaan awam yang sedang dijalankan.

Chow berkata walaupun EIA diperlukan untuk projek LRT ini, tetapi ia dilakukan sebelum ini dan kini sedang dikemaskini dan boleh diakses dalam Jabatan Alam Sekitar.

“EIA untuk projek LRT tidak perlu dipamerkan secara umum lagi sebab ia merupakan tambahan dan penambahbaikan kepada EIA pertama yang memberi syarat-syarat tertentu untuk dipatuhi,” katanya.

Jumaat lepas, Chow mengumumkan bahawa paparan awam berhubung projek LRT yang sedang dijalankan di beberapa lokasi menerima maklum balas positif.

Beliau berkata SRS Consortium selaku rakan pelaksana projek melaporkan bahawa sejumlah 16,140 maklum balas telah diterima setakat ini, dengan 15,760 menyokong projek LRT manakala 380 atau 2.35 peratus daripada jumlah maklum balas yang diterima membantah.

FMT

No comments:

Post a Comment