Saturday, 19 October 2019

Gangguan bekalan air berjadual di selatan Pulau Pinang Isnin ini



Kira-kira 200,000 pengguna akan menghadapi gangguan bekalan air antara 12 hingga 24 jam mulai pukul 10 pagi Isnin ini, susulan insiden paip pecah di Jalan Bukit Gambir, dekat sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Datuk Jaseni Maidinsa berkata insiden itu berlaku apabila paip besi 900mm bawah tanah di jalan penyelenggaraan berdekatan kompleks komersial The Pallazia pecah pada 15 Okt lepas, menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual pada malam itu sehingga keesokan harinya.


“Saluran paip ini adalah komponen utama dalam rangkaian saluran paip yang menghantar bekalan air kepada pengguna di kawasan selatan Pulau Pinang. Disebabkan hujan dan kedalaman saluran paip di kawasan itu, PBAPP telah menangguhkan pembaikan kecemasan pada 16 Okt bagi meminimumkan kesulitan terhadap pengguna.

“Bagaimanapun bahagian paip yang pecah itu perlu diperbaiki segera bagi melancarkan tekanan air, mengurangkan kehilangan air dan menstabilkan semula sistem penghantaran bekalan air terawat,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pengguna di 15 kawasan yang terjejas adalah dari Jalan Bukit Gambir ke Bayan Lepas termasuk Universiti Sains Malaysia, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan Sekolah Menengah Bukit Jambul, Relau serta Bayan Lepas yang akan mengalami gangguan bekalan air selama 12 jam mulai 10 pagi Isnin ini.

Sementara itu, pengguna di Persiaran Kelicap, Gertak Sanggul, Teluk Kumbar dan Bukit Penara di Balik Pulau dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air yang mencukupi selama 24 jam bermula pukul 10 pagi Isnin.

-- BERNAMA

------





No comments:

Post a Comment