Thursday, 17 October 2019

Individu hina Islam serah diri di IPD Timur Laut

Polis semalam menahan seorang ejen pelancongan kerana disyaki menghina agama Islam di laman sosial, Isnin lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohammed berkata suspek tersebut ditahan setelah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Pulau Pinang.

“Tangkapan dilakukan susulan lapan laporan polis yang dilakukan ke atas pemilik akaun Facebook menggunakan nama ‘KT Vasagam’,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.

Katanya, lelaki tersebut tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan polis akan mendapatkan perintah reman ke atas lelaki terbabit hari ini.



“Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan,” katanya.

Lelaki terbabit dikatakan memuat naik gambar khinzir dengan cop halal dalam tulisan jawi di laman Facebook, Isnin lalu.

Dalam kes berasingan, Huzir berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk mengesan seorang juruteknik yang disyaki menghina Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador di akaun Twitter.

Huzir berkata pemilik Twitter yang menggunakan nama Naavin Pillai itu sekarang dikesan berada di luar negara.

“Pihak polis berjaya mendapatkan maklumat dan latar belakang lelaki terbabit dan ahli keluarganya hasil kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta beberapa jabatan lain.

“Dia berusia 38 tahun dan berasal dari Lembah Klang serta pernah bekerja sebagai juruteknik sebelum meninggalkan negara. Kami akan minta bantuan daripada Interpol sekiranya dia masih di luar negara dan akan mengambil tindakan di mana sahaja dia berada,” katanya lagi.

Selain membuat ciapan yang berbentuk penghinaan terhadap perdana menteri dan ketua polis negara, individu itu juga dikatakan membalas ciapan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berhubung isu pengganas dengan mengeluarkan kenyataan jelek dalam bahasa Inggeris.

No comments:

Post a Comment