Tuesday, 22 October 2019

Kempen BMF di masjid dikesan ada unsur politik - Asmuni



IPOH 22 Okt. – Kerajaan negeri Perak tetap bertegas tidak membenarkan mana-mana pihak yang mempunyai kaitan dengan parti politik untuk menjadikan masjid sebagai lokasi apa juga penganjuran termasuk kempen tertentu.

Ia selari dengan ketetapan yang telah digariskan iaitu melarang parti-parti politik atau pihak yang didalangi oleh parti-parti politik untuk menganjurkan sebarang aktiviti di masjid.


Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam negeri, Asmuni Awi berkata, justeru pihak pengurusan masjid di negeri ini juga perlu akur tentang arahan berkenaan termasuklah dalam kalangan Ahli Jawatankuasa (AJK) yang dilantik.

Tegas beliau, Jabatan Agama Islam Perak boleh mengambil tindakan terhadap AJK masjid sekiranya siasatan yang dijalankan pihak berkenaan mendapati ada unsur-unsur ketidakpatuhan terhadap arahan tersebut.

“Kerajaan negeri Perak tidak menentang sebarang kempen yang dijalankan oleh mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam premis-premis kerajaan selama mana aktiviti tersebut selari dengan dasar dan polisi kerajaan.

“Dalam konteks masjid dan surau selain daripada di atas, aktiviti yang dianjurkan oleh parti politik atau pihak yang mempunyai kaitan dengan politik dilarang,” ujarnya pada sidang akhbar dipejabat beliau di Bangunan SUK di sini hari ini.

Sidang akhbar berkeadaan diadakan susulan laporan media berkenaan kerajaan negeri Perak dikatakan melarang sebarang penganjuran kempen Beli Barangan Buatan Muslim Dulu (BMF) di dalam kawasan masjid.

Mengulas lanjut kata Asmuni, dalam konteks BMF, meskipun pihak penganjur mendakwa kempen tersebut atas nama NGO, namun laporan dan hasil siasatan pihaknya mendapati individu yang terlibat dalam pelancaran kempen berkenaan pemimpin parti politik tertentu.

“Kita tidak mahu kempen yang tidak selari dengan dasar dan polisi kerajaan yang giat mempromosikan pensijilan dan penghasilan produk halal.

“Kempen seperti BMF ini secara keseluruhannya akan memberi kesan negatif kepada konteks ekonomi dan keharmonian dalam konteks Malaysia,” tegas beliau.

Kata beliau, sehubungan itu kerajaan negeri akan terus berusaha untuk membantu meningkatkan penghasilan dan pendapatan usahawan Melayu Muslim khususnya dengan mempromosikan produk-produk mereka dengan kerjasama agensi-agensi persekutuan yang lain.

Perak Gazette sebelum ini melaporkan, Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Perak akan tetap meneruskan kempen BMF di masjid terpilih di seluruh Perak.

Pengerusi UMMAH Perak, Datuk Khalil Idham Lim Abdullah berkata, kempen tersebut akan diteruskan sekiranya kerajaan negeri tidak menjalankan sebarang kempen berkaitan seperti yang dikatakan dalam tempoh dua minggu ini. - Perak Gazette

No comments:

Post a Comment