Thursday, 3 October 2019

Kerajaan kaji semula pelaksanaan GST jika rakyat mahu - Tun M

Perdana Menteri hari ini memberi bayangan untuk mengembalikan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) selepas didesak beberapa pihak menjelang pengumuman Bajet 2020, minggu hadapan.

“Kalau rakyat percaya GST lebih baik, kita akan kaji,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) di kompleks pentadbiran Kementerian Dalam Negeri di sini, hari ini.

“Kalau itu kehendak rakyat, kita akan kaji sama ada GST lebih baik daripada SST (cukai jualan dan perkhidmatan).”



Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan pemberita sama ada kerajaan akan menyambut cadangan perkenal semula cukai tersebut dalam belanjawan akan datang.

Bagaimanapun Mahathir berkata, mungkin sudah terlambat untuk memasukkan cukai itu dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan bulan ini.

GST yang diperkenalkan pada April 2015 dengan kadar enam peratus digantikan dengan SST pada 1 Sept 2018.

Pada pilihan raya umum ke-14 Mei 2018, Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Mahathir berjanji untuk memansukan GST.

Ini susulan kenyataan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menyarankan kerajaan memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar yang lebih rendah iaitu tiga peratus dalam Belanjawan 2020.

Pengerusi MIER Kamal Salih menyifatkan GST sebagai adil kepada semua orang, dengan berkata cukai berkenaan berjaya menjamin hasil kerajaan ketika harga minyak jatuh kepada AS$36 satu tong pada 2015. FMT

1 comment:

  1. Salam. Mohon pautkan blog saya ke dalam blog list tuan. Tq
    https://pariajalanan.blogspot.com/?m=1

    ReplyDelete