Thursday, 31 October 2019

Kerana puasa 12 jam, rakyat Malaysia dituduh dera anak di Norway



 Kementerian Luar hari ini mengesahkan pasangan rakyat Malaysia, Hairi Muhamad dan Norliha Khamis, sedang menghadapi perbicaraan di Norway atas pertuduhan mendera anak-anak mereka.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm, Sweden yang ditauliahkan serentak ke Norway, sedang memantau perkembangan kes itu.


“Pihak Kedutaan Malaysia juga telah menghubungi pasangan berkenaan dan memberikan bantuan khidmat konsular selaras dengan peruntukan Konvensyen Vienna 1963,” katanya.

Menurutnya, pihak kedutaan juga sedang bekerjasama dengan agensi tempatan yang berkaitan bagi memastikan hak dan kebajikan keluarga tersebut dipelihara, termasuk memastikan anak-anak mereka ditempatkan bersama-sama keluarga beragama Islam.




Wisma Putra berkata ia juga telah mengarahkan pegawai Kedutaan Besar Malaysia untuk turut hadir dan mengikuti prosiding perbicaraan kes tersebut pada 4 hingga 6 Nov ini.


Sejak Mei lepas, Hairi, 42, yang bertugas sebagai pakar kimpalan dan isterinya, Norliha, 42, hilang hak penjagaan terhadap lima anak mereka berusia antara empat dan 16 tahun selepas berdepan siasatan pihak berkuasa susulan aduan dibuat seorang daripada anaknya.

Sebuah akhbar tempatan yang menemu bual adik Hairi, Hasrol, melaporkan pada awal Ramadan lepas, seorang daripada anak mereka yang mungkin letih kerana berpuasa ditegur gurunya dan dia memaklumkan tertekan kerana berpuasa pada waktu yang lama (melebihi 12 jam).

Menurut Hasrol, guru tersebut berkemungkinan berpendapat bahawa kanak-kanak itu didera dan membuat aduan kepada pihak berkuasa perlindungan kanak-kanak. ― Bernama

No comments:

Post a Comment