Thursday, 24 October 2019

#Komtar KDN serbu muzium komik, rampas komik propaganda


Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerbu Muzium Kebudayaan Komik di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), di sini, pagi tadi.

Difahamkan, serbuan dan pemeriksaan dibuat Bahagian Pengkuatkuasaan KDN pada kira-kira jam 11 pagi.



Sumber berkata, pemeriksaan selama sejam itu merampas 13 komik ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ yang diterbitkan dalam versi bahasa Cina.


Katanya, tindakan itu dibuat susulan perintah KDN semalam yang mengharamkan komik itu kerana cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, selain menyebarkan fakta salah serta mengelirukan.


Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerbu Muzium Kebudayaan Komik di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR). - Foto ihsan Pembaca
Perintah larangan terhadap komik itu termasuk dalam versi bahasa Inggeris dan Cina,sekali gus menjadikan sesiapa yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, menawarkan untuk menjual atau memiliki komik terbabit boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika bercakap kepada media di lobi Parlimen, hari ini, memaklumkan KDN akan melakukan tindakan susulan dan merampas komik berkenaan jika masih diedarkan di pasaran.

Katanya, KDN mempunyai asas kukuh mengharamkan komik ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ kerana boleh memudaratkan ketenteraman dan keselamatan awam, bukan berdasarkan sentimen atau politik.

Sementara itu, seorang pekerja di muzium berkenaan yang enggan dikenali berkata, pihaknya tidak dimaklumkan mengenai pengharaman komik terbabit.

Malah katanya, mereka juga tidak menerima apa-apa arahan daripada pengurusan muzium yang dibuka seperti biasa dari jam 11 pagi hingga 7 petang

BH

No comments:

Post a Comment