Sunday, 6 October 2019

#Perai Lelaki cedera ditembak dari Myvi


 Seorang lelaki yang sedang melepak bersama rakan-rakannya cedera selepas ditembak dalam kejadian di hadapan sebuah apartmen di Taman Inderawasih, Perai di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, pemandu jentera angkat susun (forklift) sebuah kilang berusia 26 tahun tersebut dilaporkan mengalami kecederaan pada lengan kanan dan perut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, dalam kejadian itu, mangsa pada mulanya bersembang dengan empat rakan sambil duduk di atas motosikal sebelum melihat sebuah kereta jenis Proton Waja melalui kawasan berkenaan.





"Selang beberapa minit, kereta itu datang semula menyebabkan rakan mangsa mengejar kerana ia dilihat dipandu laju dan mangsa turut mengejar.

"Kereta itu kemudiannya hilang dari pandangan, namun sebuah kereta lain jenis Perodua Myvi telah memintas mangsa sebelum penumpang hadapannya melepaskan dua das tembakan ke arahnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, akibat kejadian itu mangsa terkena tembakan pada perut dan lengan kanan serta dirawat di Hospital Seberang Jaya di sini.

"Hasil siasatan, mangsa tidak pasti sebabnya (kejadian itu) dan tidak mempunyai masalah dengan mana mana pihak.

"Saksi dan mangsa juga tidak dapat pengecam suspek kerana cermin kereta gelap dan suspek hanya membuka sedikit cermin ketika melepaskan tembakan," katanya lagi.



Menurut Nik Ros Azhan, semakan turut mendapati kedua-dua kereta itu menggunakan nombor pendaftaran palsu selain tidak menjumpai sebarang kelongsong peluru di lokasi kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment