Wednesday, 2 October 2019

MP Kangar setuju kerajaan PH lanksanakan cukai GST

Seorang pemimpin PKR, Noor Amin Ahmad menyambut baik cadangan pelaksanaan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) kerana percaya bahawa sistem pencukaian berkenaan lebih baik berbanding sistem yang dilaksanakan sekarang.

Ahli Parlimen Kangar itu berkata, cadangan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) agar kerajaan memperkenalkan semula cukai itu pada kadar yang lebih rendah iaitu tiga peratus adalah lebih praktikal.


Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perlis berkata, kerajaan perlu sedar bahawa ramai majikan yang telah melabur untuk menyediakan sistem ini di premis mereka.

“Saya percaya GST adalah sistem yang lebih baik. Kekurangan GST yang memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah boleh ditangani dengan cara lain yang boleh difikirkan secara bersama,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Pada kempen pilihan raya lalu, Pakatan Harapan berjanji menghapuskan pelaksanaan GST dengan melaksanakan semula sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).



Antara yang paling lantang melontarkan janji itu ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang kini merupakan menteri kewangan.

Baru-baru ini, MIER menyarankan kerajaan supaya memperkenalkan semula GST pada kadar yang lebih rendah iaitu tiga peratus dalam Bajet 2020.

Pengerusinya, Tan Sri Kamal Salih yang menyifatkan GST sebagai sistem percukaian yang saksama kepada semua peringkat masyarakat dilaporkan berkata, GST merupakan sistem yang memastikan kerajaan memiliki kewangan yang kukuh ketika harga minyak mentah susut di bawah AS$36 (RM150) setong pada 2015.



“GST merupakan sistem yang saksama, namun beberapa pihak mengatakan ia regresif kerana golongan miskin akan terkesan,” kata Kamal.

Mengulas lanjut, Noor Amin berkata, jika GST dilaksanakan, kerajaan mesti lebih telus dalam menjelaskan ke mana hasil kutipan cukai itu akan dibelanjakan.

“Jika kita mengambil anggaran tahun lalu, iaitu sebanyak enam peratus GST dikenakan, kira-kira RM42 bilion boleh dikutip. Ini menggambarkan setiap satu peratus kutipan bersamaan dengan RM7 bilion.



“Jika begitu, kerajaan boleh memperkenalkan antaranya pendidikan percuma di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) melalui satu peratus ini.

“Satu peratus lagi boleh disalurkan kepada golongan berpendapatan rendah untuk menyerap kesan kos GST sebagaimana saya nyatakan tadi. Ini adalah sebahagian cara menangani kesan regresif GST yang perlu diakui ada,” katanya.

Sumber

No comments:

Post a Comment