Thursday, 17 October 2019

P Ramasamy dipanggil ke Bukit Aman

Timbalan Ketua Menteri II  Pulau Pinang, P. Ramasamy akan memberi keterangan kepada polis berhubung satu laporan polis yang dibuat terhadapnya.

Menurut Ramasamy, beliau dikehendaki hadir ke ibu pejabat Polis Bukit Aman pada 21 Oktober  (Isnin) berhubung satu artikelnya yang diterbitkan dalam sebuah portal bertajuk 'New government but the same old police force' yang disiarkan 17  September lalu.

"Saya akan hadir ke Ibupejabat Polis Bukit Aman pada 21 Oktober ini pada jam 9.45 pagi untuk memberi keterangan berhubung artikel saya dalam portal MalaysiaKini bertarikh 17 September lalu," katanya ketika dihubungi wakil media pada Khamis.


Artikel yang disiarkan menerusi kolum 'Adun Speaks', Ramasamy mempersoalkan tindakan polis menembak mati tiga penjenayah dipercayai aktif samun pecah rumah di Kilometer 22, Jalan Batu Arang, Rawang, 14 September lalu.

Dalam artikelnya itu, Ramasamy berkata, polis di bawah keadaan politik yang berubah harus tampil dengan idea baru dalam menangani kes seperti itu.

Menurutnya, pengulangan kisah lama iaitu aksi kejar-mengejar, perompak melepaskan tembakan ke arah polis dan polis terpaksa membalas tembakan sehingga suspek mati tidak dapat diterima.

Tambahnya, sehingga kini, tiada siasatan yang serius dijalankan dalam mempersoalkan kewajipan polis sama ada kejadian tembak menembak itu wajar dilakukan atau sebaliknya.

No comments:

Post a Comment