Monday, 14 October 2019

Pakar Ekonomi UPM Mohon Maaf Kenyataan Perlekeh Penghantar Makanan


Pakar Ekonomi dari Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof. Madya Dr. Yusof Saari memohon maaf terhadap kenyataan berbaur memperlekeh tugas penghantar makanan dan pemandu e-hailing yang disuarakannya pada program khas Belanjawan 2020 di TV3 Jumaat lalu.

Jelasnya, beliau tidak bermaksud untuk mengguris hati mana-mana pihak dan mengundang persepsi negatif masyarakat.

Tegasnya segala pandangan diutarakan itu adalah pandangan peribadinya dan tidak mewakili mana-mana pertubuhan atau organisasi.

Menurut Dr. Yusof, kenyataannya telah disalah tafsirkan dan dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab di media sosial yang hanya menyebarkan sebahagian daripada klip bual bicara berkenaan dan bukan keseluruhan jawapan berkenaan isu yang ditanya kepadanya.

Beliau sama sekali tidak berniat untuk memperkecilkan atau mempersendakan mana-mana pihak.

Sebaliknya, kenyataan itu amat jelas berkenaan pandangan bahawa kerajaan perlu mengangkat martabat dan maruah pekerja di Malaysia dengan menyediakan platform peluang pekerjaan yang bersesuaian mengikut kelulusan para graduan.

Jelas Dr. Yusof, beliau kini dalam proses mengambil tindakan undang-undang ke atas individu-individu serta pihak yang tidak bertanggungjawab yang telah memanipulasi, menyebarkan fitnah, buli siber, ugutan serta tohmahan yang tidak berasas ke atas dirinya.

Program khas Belanjawan 2020 di TV3 bersiaran secara langsung pada Jumaat lalu dihoskan oleh gandingan penyampai berita Mior Malek Raiyani dan Gan Ai Leng.

Manakala Dr. Yusof dan Pengarah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial Universiti Malaya Datuk Prof Emeritus Dr. Norma Mansor sebagai panel jemputan.

#BuletinTV3

No comments:

Post a Comment