Thursday, 3 October 2019

PDRM buru guru pijak murid sampai patah tangan


Polis sedang berusaha mengesan seorang guru mengaji Al-Quran beralamat di Jalan Simpang Tiga, Jeram, Kuala Selangor dekat sini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan beliau mendera seorang anak muridnya yang berusia 13 tahun.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supt Md Asri A. Wahab dalam satu kenyataanya di sini hari ini berkata lelaki berusia 26 tahun itu telah menghilangkan diri selepas mengetahui bapa kepada muridnya itu membuat laporan polis.



Beliau berkata berdasarkan siasatan awal pihaknya mendapati remaja itu belajar mengaji dengan suspek sejak bulan Mac lepas setiap hari Isnin sehingga hari Sabtu mulai pukul 8.00 malam sehingga pukul 9.30 malam dan hanya beliau seorang sahaja yang belajar mengaji dengan suspek.

“Siasatan kami juga mendapati remaja itu telah beberapa kali mengalami kecederaan antaranya patah tangan kiri pada Julai lepas, lebam-lebam di muka pada Ogos lepas dan terbaru pada 21 September lepas, luka dibibir,” katanya.

Md Asri berkata remaja itu memberitahu bapanya mengenai kecederaan yang dialami akibat dipukul, malah turut dipijak oleh suspek, yang mengugut akan memukulnya jika dia memberitahu perkara itu kepada sesiapa.


“Kes disiasat di bawah Sek 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya. — Bernama

No comments:

Post a Comment