Monday, 28 October 2019

Pertahan status Kampung Baru selagi ada hayat orang Melayu

Rizab Melayu yang menjadi status Kampung Baru mesti dipertahankan sampai bila-bila selagi ada hayat orang Melayu di negara ini.

Tegas Datuk Seri Johari Abdul Ghani, ini kerana title tanah Kampung Baru semasa diberi oleh Sultan Selangor pada 120 tahun yang lalu ditulis – selagi ada bulan dan bintang, tanah itu mesti milik orang Melayu.

“Tapi ada yang nak ambil alih, nak paksa-paksa, macam mana? Jadi, jangan memandai-mandai,” katanya kepada MalaysiaGazette dalam satu pertemuan.

Disebabkan itu, katanya, biar pembangunan tanah Kampung Baru lambat asalkan pemilikannya tidak jatuh ke tangan orang lain.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan tidak boleh menawarkan harga tanah Kampung Baru lebih tinggi setanding harga pasaran kerana ia akan mengakibatkan kos membina dan menjual rumah di kawasan itu lebih tinggi.

Harga kediaman yang lebih tinggi itu nanti akan menjejaskan peluang kepada orang Melayu lain untuk membeli hartanah di Kampung Baru pada masa depan.



Mengulas lanjut, Johari berkata: “Asalkan tanah itu tidak ditukar status daripada orang Melayu, cukup.

“Jangan perkecilkan orang Melayu. Di Malaysia ini ramai orang Melayu dari Kelantan, Perlis sampai ke Johor, Sabah, Sarawak. Ramai orang Melayu boleh beli. Tak payah sibuk-sibuk cakap orang Melayu tak boleh beli. Orang Melayu boleh beli.

“Tapi pastikan tanah status melayu itu jangan ditukar milik,” katanya. – MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment