Friday, 18 October 2019

Rogol anak tiri, nelayan dipenjara 202 tahun 23 sebatan


Seorang nelayan dijatuhi hukuman penjara berjumlah 202 tahun dan 23 sebatan selepas mengaku bersalah atas 22 pertuduhan merogol, mencabul dan merakam gambar bogel anak perempuan tirinya berusia 15 tahun sejak 2016.

Hakim Mahkamah Sesyen Datuk Julie Lack Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 36 tahun itu apabila membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan semula oleh jurubahasa mahkamah, di sini semalam.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bagi setiap kategori kes serentak bermula dari tarikh dia ditangkap pada September lalu yang menjadikan tempoh penjara kepada 38 tahun.

Pada 11 Okt lalu, bapa durjana itu hanya mengaku bersalah terhadap enam daripada kesemua pertuduhan berkenaan dan mengaku tidak bersalah bagi 16 lagi pertuduhan sebelum menukar pengakuan ketika prosiding keputusan yang ditetapkan semalam.






Dia didakwa atas 14 pertuduhan merogol, lima pertuduhan melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul, dua pertuduhan mencabul kehormatan ketika remaja itu berusia 12 tahun dan satu pertuduhan merakam gambar bogel.


Lelaki itu didapati melakukan kesemua kesalahan itu di sebuah rumah di Sitiawan, Manjung, antara April 2016 sehingga 29 Sept lalu.

Bagi kesemua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377C, 376B (1), 377CA, 354, 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai memandangkan kejadian itu menyebabkan trauma terhadap mangsa dan mempengaruhi mangsa secara emosi.



Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert Gannarajan, memohon hukuman ringan dengan mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh yang menjimatkan kos dan masa mahkamah.

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman penjara 38 tahun dan 23 sebatan bagi kesemua kes itu.

Mengikut fakta kes, kesemua kesalahan dilakukan tertuduh terbongkar apabila ibu mangsa menemui kad memori SD yang mengandungi gambar mangsa dalam keadaan bogel sebelum laporan polis dibuat.

Polis menahan tertuduh pada 30 Sept lalu. — Bernama

No comments:

Post a Comment