Friday, 4 October 2019

#tambaklaut JAS nafi kelulusan laporan EIA PSR dua hari

Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini menolak proses penilaian kesan alam sekitar (EIA) Projek Tebus Guna Tanah Selatan Pulau Pinang (PSR) diluluskan dalam masa dua hari seperti didakwa oleh kumpulan pendesak, Penang Forum.

Menyifatkan dakwaan itu tidak berasas, JAS dalam kenyataannya hari ini berkata, laporan EIA bagi projek tersebut telah melalui prosedur pemprosesan yang ditetapkan jabatan berkenaan, termasuk kelulusan TOR, pemprosesan EIA dan prosedur pameran awam dari tahun 2016 hingga 2019.

“Prosedur pameran awam telah diadakan mulai 29 April hingga 28 Mei 2019 di 11 lokasi iaitu Perpustakaan Negara Malaysia, perpustakaan Jabatan Alam Sekitar Malaysia, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang, kompleks pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang, Balai Polis Teluk Kumbar, Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN), Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang, JAS cawangan Bayan Lepas, Majlis Perbandaran Seberang Perai, Penang Town Hall serta Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan,” katanya.


JAS juga berkata, mesyuarat Jawatankuasa Semakan Teknikal EIA (EIATRC) bagi mengkaji dan membincangkan laporan itu diadakan pada 10 dan 29 Mei 2019 dan dihadiri oleh setiausaha kerajaan negeri, agensi teknikal berkaitan di peringkat negeri dan persekutuan, serta individu dilantik dan perunding EIA.


Penang Forum sebelum ini mempertahankan dakwaan seorang pakar alam sekitar bahawa JAS hanya mengambil masa dua hari untuk meluluskan laporan EIA projek PSR.

Ia juga menolak penjelasan Ketua Menteri Chow Kon Yeow sebelum itu bahawa kerajaan negeri menunggu selama dua tahun bagi mendapatkan kelulusan tersebut.

“Penyerahan laporan dan menunggu kelulusan adalah dua perkara berlainan. Proses penyerahan laporan EIA tidak sama dengan “menunggu kelulusan”, kata anggota jawatankuasa pemandu Penang Forum, Khoo Salma Nasution kepada FMT sebelum ini.

Khoo yang merujuk dakwaan penyelidik alam sekitar Evelyn Teh dilaporkan berkata, perkara itu boleh dilihat daripada penyerahan laporan EIA PSR terdahulu pada 28 Apr 2017 yang ditolak pada Ogos tahun lepas kerana tidak memenuhi syarat tertentu.

Semalam Khoo mempersoalkan sama ada tarikh kelulusan projek PSR pada 25 Jun “berkebetulan” dengan hari terakhir bekerja Ketua Pengarah JAS Ahmad Kamarul Najuib Che Ibrahim sebelum persaraan beliau.

“Tarikh kelulusan itu sama meragukan dengan tempoh dua hari kelulusan EIA PSR,” katanya.

JAS dalam kenyataan sama berkata, laporan “revised EIA” yang mengambil kira semua input mesyuarat terbabit serta ulasan awam telah dikemukakan pada 21 Jun tahun ini.

“JAS mendapati laporan EIA yang dikemukakan memenuhi kehendak 34A(3) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Dengan itu laporan EIA tersebut diluluskan dengan 72 syarat kelulusan,” katanya.

“Kesimpulannya laporan EIA bertajuk ‘The Proposed Reclamation and Dredging Works for Penang South Reclamation (PSR), Penang’, telah melalui prosedur ditetapkan oleh perundangan dan garis panduan pemprosesan EIA,” katanya.

PSR adalah inisiatif kerajaan negeri bagi membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion melalui tebus guna tiga buah pulau seluas 4,000 ekar di pesisir Permatang Damar Laut.

Projek berkenaan mendapat bantahan banyak pihak, termasuk kumpulan alam sekitar atas kebimbangan kesannya ke atas alam, selain tentangan daripada nelayan di kawasan terbabit yang menganggapnya mengancam mata pencarian mereka.

No comments:

Post a Comment