Sunday, 3 November 2019

39 mayat ditemui di dalam kontena dipercayai warga Vietnam


SEJUMLAH 39 mayat yang ditemui dalam sebuah kontena sejuk beku di England minggu lepas merupakan warga Vietnam susulan penangkapan tiga lagi individu di Ireland dan Vietnam dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket pemerdagangan manusia.

Kesemua mangsa ditemui di satu lokasi di tenggara Pelabuhan Purfleet pada 23 Oktober lepas yang pada mulanya dipercayai warga China sebelum pihak penyiasat menemui bukti baharu berhubung laporan orang hilang di Vietnam.



Pegawai kanan Polis Essex, Tim Smith dipetik berkata, ketika ini pihaknya percaya mangsa-mangsa merupakan warga Vietnam dan sedang berhubung dengan wakil kerajaan negara berkenaan.

Pihak kedutaan Vietnam di London turut berduka dengan pengesahan siasatan tersebut dan telah mengirimkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa-mangsa.
Ketika ini pihak keduataan Vietnam dan polis Britain sedang mengenal pasti identiti mangsa-mangsa.

Susulan penemuan ini, seorang lelaki berusia 25 tahun, Maurice Robinson, dari Utara Ireland telah didakwa di mahkamah dengan 39 pertuduhan menyebabkan kematian dan konspirasi  pemerdagangan manusia.

Robinson merupakan pemandu treler tersebut yang telah mengambil kontena berkenaan setelah tiba dengan feri dari Zeebrugge, Belgium.

Seorang lagi lelaki ditahan pada Jumaat lepas di Ireland dan dua lagi  di Vietnam.

Kedua-dua individu ini yang dipercayai ada kaitan dengan pengurusan sindiket pemerdagangan manusia ditahan di wilayah Ha Tinh susulan laporan kehilangan yang diterima polis Vietnam daripada 10 keluarga. – Terjemahan Perak Gazette.

Sumber/Gambar - AP

No comments:

Post a Comment