Monday, 11 November 2019

Aliff Aziz ditangkap ganggu ketenteraman awam ketika mabuk di Orchard Road


SINGAPURA: Penyanyi dan pelakon Aliff Aziz ditangkap hari ini (10 Nov) kerana mengganggu ketenteraman di tempat awam ketika dalam keadaan mabuk.

Demikian menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) menjawab pertanyaan BERITAmediacorp mengenai dua video viral, membabitkan penyanyi tersebut.


Polis menambah, Aliff, 28 tahun didapati bergaduh dengan seorang lelaki sekitar pukul 6.40 pagi tadi di kawasan Orchard Road.

Walaupun diarahkan supaya bertenang dan meleraikan pergaduhan itu, Aliff yang nafasnya berbau arak, enggan memberikan kerjasama dan terus mencetuskan kekecohan.

Dia kemudian ditangkap di bawah Seksyen 14(2)(b) Akta Kawalan Arak.

Menurut polis lagi, Aliff juga bergelut dengan para pegawai semasa mereka cuba menggari tangannya. Siasatan polis masih dijalankan.

Petang tadi, dua video yang menunjukkan Aliff bergelut dengan pegawai polis di kawasan Orchard Road menjadi viral di media sosial.

Dalam video pertama, Aliff dilihat bergelut dengan dua pegawai polis di persimpangan jalan Claymore Road dan kejadian itu disaksikan oleh orang ramai.

Buat seketika Aliff berjaya meloloskan diri dari pegawai tersebut dan cuba melarikan diri. Pegawai berkenaan bagaimanapun berjaya mengejar dan menahannya sebelum mereka berdua terjatuh di tepi jalan raya.

Sepanjang kejadian yang dilihat dalam video pertama, suara seorang wanita boleh didengar memberikan penjelasan tentang apa yang sedang berlaku dan puncanya. Namun, tidak jelas siapakah wanita tersebut.

Menurut komentar wanita itu, Aliff dilihat "cari pasal" dengan beberapa orang. Seorang lelaki tidak dikenali juga dikatakan menumbuk Aliff. Wanita itu menambah, beliau tidak pasti apa yang dikatakan Aliff sehingga diserang lelaki tersebut.

Dalam video kedua pula, Aliff dilihat masih bergelut dengan dua orang pegawai polis yang cuba untuk menggari tangan penyanyi tinggi lampai itu.

Aliff juga menjerit-jerit kepada polis, meminta agar mereka bercakap dengan bapanya. Sedang polis cuba untuk memusingkan Aliff ke posisi meniarap untuk menggari tangannya, Aliff dilihat memegang telefon bimbit dan bercakap dengan seseorang yang dipanggil "ayah".

Dia kedengaran bersungguh-sungguh memberitahu ayahnya bahawa "ada orang pukul abang", merujuk kepada dirinya sendiri. Dia mengulangi ayat itu sebanyak empat kali dan akhirnya merayu "ayah tolong abang ayah!".

Dua kereta polis kemudian tiba di lokasi kejadian dan tiga lagi pegawai polis bergegas membantu dua pegawai di tempat kejadian yang masih cuba menggari Aliff.

Aliff bakal dihadapkan di Mahkamah Negara pada 19 November nanti bagi sebutan kes curi, di mana dia dituduh mencuri wang milik seorang pelakon dan ahli politik Indonesia bernama Raja Yunika Perdhana Putri.

Dia juga berdepan satu lagi kes mencuri sekotak rokok Marlboro dan pemetik api milik seorang lelaki di Starbucks Plaza Singapura.

- BERITAmediacorp/fz
Kredit video: Hoi Media

No comments:

Post a comment