Friday, 8 November 2019

#BukitGambir 3 suspek kes ugut bunuh pengarah syarikat guna bom dikenal pasti


Polis telah mengenal pasti identiti tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian seorang pengarah sebuah syarikat diugut bunuh dan belakang pintu masuk rumahnya diletakkan dua objek seperti bom buatan sendiri (IED) jenis dinamit dalam kejadian di Bukit Gambir, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata polis kini sedang giat memburu tiga lelaki dipercayai warga China berusia 30 hingga 50-an itu dan percaya mereka masih berada dalam negara ini.

“Berdasarkan risikan dan siasatan yang dijalankan, kami berjaya mengenal pasti identiti tiga lelaki termasuk maklumat lengkap pasport mereka dan polis percaya suspek masih berada di negara ini, kerana sehingga hari ini tiada maklumat pergerakan mereka keluar dari Malaysia,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.


Katanya polis tidak menolak kemungkinan, tiga lelaki itu bertindak sedemikian berikutan marah dengan ayah mangsa ekoran tidak mendapat semula wang pelaburan mereka, namun siasatan terperinci masih dijalankan.


Menurut beliau, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung penemuan IED yang dipercayai dihasilkan sendiri itu, sama ada ia dibuat oleh tiga suspek tersebut atau pihak lain.

Che Zaimani berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Seorang pengarah sebuah syarikat mengalami detik cemas selepas diugut bunuh dan dipaksa memindahkan wang dari akaunnya oleh tiga lelaki dipercayai warga China yang memecah masuk rumahnya di Bukit Gambir pada Isnin malam malah suspek turut meletakkan dua objek IED jenis dinamit di belakang pintu masuk.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, lelaki berusia 28 tahun yang juga pengarah sebuah hotel di sini pulang ke rumahnya dan ketika hendak membuka pintu, mangsa ternampak tiga lelaki memanjat pagar rumah jirannya untuk masuk ke kawasan rumahnya, sebelum suspek mendekatinya dan bertindak mengacukan sebilah pisau di bahagian perut sebelah kiri.

Tiga suspek itu memberitahu lelaki tersebut yang ayahnya telah menipu ramai pelabur dan mengarahkan mangsa memindahkan wang kepada akuan mereka, sebelum pengarah berkenaan meminta suspek menghubungi pemandu ibunya, bagi mencari ayahnya dan dalam masa sama dia menjerit meminta tolong kepada pemandu terbabit.

Pemandu itu terus ke rumah mangsa dan berjaya menyelamatkan anak majikannya, manakala tiga lelaki tersebut melarikan diri dengan sebuah kereta Perodua Axia sebelum isteri mangsa membuat laporan polis, serta memaklumkan terdapat dua unit bom belakang pintu rumah mereka.


Pemeriksaan Unit Pemusnah Bom Kontinjen Polis Pulau Pinang mendapati terdapat dua objek seperti IED jenis dinamit namun dipercayai bom palsu buatan sendiri dalam rumah itu dan polis menggunakan robot untuk mengeluarkannya sebelum ia dimusnahkan, tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda. FMT 

No comments:

Post a Comment