Wednesday, 6 November 2019

#BukitGambir Pengarah syarikat diugut, bom ditemui belakang pintu rumah

Seorang pengarah sebuah syarikat mengalami detik cemas selepas diugut bunuh dan dipaksa memindahkan wang dari akaunnya oleh tiga lelaki dipercayai warga China yang memecah masuk rumahnya di Bukit Gambir, di sini semalam malah suspek turut meletakkan dua objek seperti bom buatan sendiri (IED) jenis dynamite di belakang pintu masuk.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, lelaki berusia 28 tahun yang juga pengarah sebuah hotel di sini pulang ke rumahnya dan ketika hendak membuka pintu, mangsa ternampak tiga lelaki memanjat pagar rumah jirannya untuk masuk ke kawasan rumahnya.




“Tiga lelaki itu terus mendekati mangsa dan seorang daripadanya bertindak mengacukan sebilah pisau di bahagian perut sebelah kiri pengarah tersebut sebelum rakan suspek bercakap dalam bahasa Mandarin ‘kami hanya mahukan wang kami semula’,” katanya di sini hari ini.

Katanya suspek mengarahkan mangsa membuka pintu rumah sebelum semua mereka masuk ke dalam kediaman itu serta lelaki tersebut diarahkan duduk di ruang tamu dan tiga lelaki berkenaan  terus mendesak mahukan wang mereka.


Menurutnya tiga suspek dipercayai warga China itu memberitahu lelaki tersebut yang ayahnya telah menipu ramai pelabur sebelum mangsa memaklumkan, mereka harus mencari bapanya kerana dia tiada kena mengena dalam syarikat pelaburan terbabit.


Che Zaimani berkata mangsa berkali-kali menafikan yang dia bertanggungjawab menjaga wang pelaburan milik ayahnya namun tidak dipedulikan suspek dan mereka mengatakan mengetahui maklumat lengkap berkaitan lelaki tersebut termasuk rumah di Kuala Lumpur dan mengetahui latar belakang keluarganya termasuk isteri, ibu bapa serta datuk mangsa.

Katanya suspek turut bertegas mahukan wang mereka semula dan seorang daripadanya meminta telefon bimbit mangsa untuk mengakses ke aplikasi untuk pelaburan tersebut sebelum mendapati ia tiada dalam telefon bimbit tersebut serta mengarahkan lelaki itu untuk memuat naik aplikasi berkenaan dan mendaftar akaun pelaburan tersebut.

Beliau berkata mereka juga mengarahkan mangsa membeli bitcoin namun akaun tersebut tidak dapat diaktifkan sebelum memaksa lelaki itu memindahkan semua wang dalam akaunnya kepada suspek namun dia memberitahu limit transaksi hanya RM10,000 dan perlu ke kaunter bank untuk membuat pengeluaran.

Menurutnya suspek kemudian mengarahkan mangsa menghubungi ayahnya untuk meminta wang pelaburan mereka dikembalikan semula, namun panggilan tersebut tidak dijawab.

Che Zaimani berkata lelaki itu mencadangkan supaya menghubungi pemandu kepada ibunya untuk mengelak daripada terus didesak memindahkan wang dan dia turut memberitahu pemandu tersebut boleh  mencari ayahnya.

“Semasa suspek sedang bercakap dalam telefon dengan pemandu tersebut, mangsa menjerit meminta tolong dan membantunya sebelum lelaki itu terus bergegas ke rumah berkenaan untuk menyelamatkan anak majikannya,” katanya.

Katanya tiga lelaki itu yang terkejut dengan kehadiran pemandu berkenaan bertindak melarikan diri dari rumah itu dengan membawa sebuah beg yang mereka bawa namun mangsa dan pemandu tersebut cuba menghalang sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

“Tiga lelaki itu berjaya melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Perodua Axia warna biru namun begnya tertinggal dan dipercayai mereka juga telah meletakkan dua butir bom jenis dynamite di belakang pintu masuk rumah mangsa,” katanya, sambil menambah isteri mangsa menghubungi polis 9 malam memaklumkan kejadian tersebut.

Katanya pemeriksaan Unit Pemusnah Bom Kontinjen Polis Pulau Pinang mendapati terdapat dua objek seperti IED jenis dynamite namun dipercayai bom palsu buatan sendiri dalam rumah itu dan polis menggunakan robotik untuk mengeluarkannya sebelum ia dimusnahkan, tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.

Beliau berkata polis turut merampas pelbagai barangan milik tiga suspek dalam beg mereka antaranya sebotol cecair disyaki petrol, silinder kertas disyaki berisi simen berserta wayar, besi diubah suai menjadi suis, bateri, simen, pisau dan pakaian.

“Rumah mangsa dilengkapi kamera litar tertutup dan merakam kejadian berkenaan, polis kini sedang giat mengesan tiga lelaki dipercayai warga China itu. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960,” katanya. — Bernama

No comments:

Post a Comment