Tuesday, 19 November 2019

#Butterworth Jurutera mabuk memandu lawan arus di lebuh raya



Seorang jurutera ditahan polis selepas dikesan memandu melawan arus di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Sungai Dua, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, lelaki berusia 64 tahun itu dikatakan dalam perjalanan pulang dari Relau menuju hotel penginapannya di Pulau Tikus namun tersasar sehingga keluar daripada kawasan pulau dan masuk ke lebuh raya menuju ke utara.



Difahamkan, dia yang memandu di bawah pengaruh alkohol tersedar ketika sampai di Tikam Batu dan berpatah balik dengan melawan arus sehingga ke Tol Sungai Dua.

Ketua Polis Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, anggota polis trafik lebuh raya yang menerima laporan mengenai kejadian itu bertindak menahan kereta Perodua Myvi yang dipandu lelaki berkenaan tidak lama kemudian.

"Lelaki yang berasal dari Negeri Sembilan dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan dia tersasar jauh dari tempat yang hendak dituju.

"Suspek telah ditangkap dan dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah SPU untuk tindakan lanjut,"katanya ketika dihubungi hari ini.

Noorzainy berkata, lelaki berkenaan kini direman dan di siasat di bawah Seksyen 42(1) dan Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya dan dalam pengaruh alkohol.

Dalam pada itu, Noorzainy turut mengingatkan kepada pengguna jalan raya agar tidak memandu di bawah pengaruh alkohol kerana akan membahayakan diri sendiri dan orang lain.

#LawanArus #SinarHarian

No comments:

Post a comment