Tuesday, 26 November 2019

#Butterworth ketua jurutera kapal disyaki jatuh laut



Maritim Malaysia mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang ketua jurutera kapal tangki MV Mariwit (IMO:9459448) yang disedari hilang di kapal selepas kali terakhir ditemui di bilik enjin di kedudukan 3.7 batu nautika barat laut Butterworth, Pulau Pinang semasa kapal sedang berlepas daripada Pelabuhan Pulau Pinang pada jam lebih kurang 2:00 pagi 24 November 2019.




Menurut Pengarah CARILAMAT dan Bantuan Bencana, Laksamana Pertama (M) Mohd Zawawi bin Abdullah berkata, “ Maritime Rescue Command Centre (MRCC) menerima isyarat kecemasan daripada kapal MV Mariwit yang berdaftar dari Panama pada 10.24 malam dan seterusnya SAR diaktifkan pada jam 11:30 malam di mana MRCC telah mengarahkan Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi membantu koordinasi SAR di perairan Pulau Pinang dan Perak. Manakala Maritime Rescue Sub- Centre (MRSC) Johor Bharu untuk pencarian di perairan Selangor.”

Mangsa, Jin Ying Lai, 49 tahun merupakan warganegara China bertugas sebagai ketua jurutera di kapal berkenaan. Mangsa disahkan hilang oleh rakan sekerjanya pada jam lebih kurang 5:30 petang pada hari yang sama di kedudukan 40 batu nautika barat Pulau Ketam, Selangor dan sedang belayar menuju ke Kemaman, Terengganu.

Antara aset yang digunakan, sebuah pesawat helikopter AS 365 N3 Dauphin Maritim Subang, sebuah kapal iaitu KM Marlin daripada Maritim Negeri Perak, Bot Kilat 26 daripada Maritim Negeri Pulau Pinang serta Bot Kilat 15 dan Bot Petir 90 daripada Maritim Negeri Selangor.

Selain aset Maritim Malaysia, turut terlibat dalam pencarian adalah Bot PSC 46 dari Pasukan Polis Marin Batu Uban, Pulau Pinang serta KD Tun Abdul Jamil (TLDM).

Usaha mencari dan menyelamat masih tidak menemui sebarang petanda dan ianya masih lagi diteruskan dan operasi ini telah memasuki hari kedua.

#MalaysiaCoastGuard
#MaritimMalaysia
#MCG
#KDN

No comments:

Post a comment