Saturday, 2 November 2019

KKM rampas Nikotin tanpa lesen bernilai RM6.38 Juta



Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) telah menjalankan satu operasi bersepadu di seluruh negara pada 31 Oktober 2019, sebagai penguatkuasaan terhadap penjualan nikotin tanpa lesen.

Tindakan ini diambil rentetan penjualan nikotin tanpa mempunyai lesen racun yang sah, yang didapati semakin berleluasa termasuk di platform e-dagang dan media sosial.

Melalui risikan terancang yang dilakukan oleh KKM, sebanyak 28 premis telah diserbu melibatkan rampasan sebanyak 35,439 item yang disyaki mengandungi nikotin. Jumlah keseluruhan rampasan ini dianggarkan bernilai RM 6.38 juta.









Nikotin adalah merupakan Racun Kumpulan C dan dikawal di bawah  Akta Racun 1952 [Akta 366]. Penjualan nikotin secara berleluasa tanpa lesen yang sah merupakan satu kesalahan di bawah Akta ini dan jika didapati bersalah boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) Akta Racun 1952 iaitu denda tidak melebihi RM 3,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali

Penjualan produk yang mengandungi nikotin hanya boleh dilakukan oleh ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar untuk tujuan rawatan perubatan seperti Terapi Penggantian Nikotin bagi perokok yang ingin berhenti merokok.

Tindakan ke atas penjualan nikotin ini bukanlah satu aktiviti baru. Sejak tahun 2015, KKM telah mengambil tindakan terhadap premis yang menjalankan perniagaan tersebut. Namun mutakhir ini, aktiviti penjualan didapati semakin serius, termasuk di platform e-dagang.






Oleh itu, KKM telah meningkatkan kerjasama dengan pengendali platform e-dagang yang berpusat di Malaysia serta di laman media sosial. Penjual yang didapati menjual nikotin di platform tersebut telah dikenalpasti dan di senarai hitam.

Sepanjang tahun 2019, sebanyak 165 laman sesawang seperti blogspot dan media sosial telah dihantar kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Facebook, Instagram, Twitter, dan YouTube untuk tindakan sekatan.

Pihak KKM menasihatkan penjual, pengedar, pengilang dan pengimport untuk menghentikan serta merta sebarang aktiviti pengilangan, pengedaran dan penjualan cecair yang mengandungi nikotin.







KKM akan meneruskan pemantauan serta menjalankan operasi secara berterusan dengan pelbagai pihak bagi memastikan penjualan cecair rokok elektronik bernikotin dapat dibanteras.

Orang ramai dan pihak media boleh mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan penjualan cecair rokok elektronik mengandungi nikotin kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia atau melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my / ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil oleh pihak KKM bagi membanteras penjualan produk ini di pasaran.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

1 November 2019

No comments:

Post a Comment