Friday, 8 November 2019

Pulau Pinang perketat undang-undang syariah kawal sebar agama lain kepada orang Islam

Undang-undang syariah di Pulau Pinang akan “ditambah baik” bagi menangani penyebaran agama lain kepada orang Islam dengan lebih berkesan.

Timbalan Ketua Menteri I, Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (PH-Pinang Tunggal) berkata, memang sedia terdapat undang-undang negeri sejak 1996 yang melarang aktiviti sedemikian, dengan pesalah dibicarakan di mahkamah sivil.

Semasa Sesi Soalan beliau berkata, satu jawatankuasa di bawah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) telah menggubal versi baru undang-undang tu dengan mengambil kira amalan terbaik di negeri lain.

Zakiyudin berkata, di bawah undang-undang sedia ada, iaitu di bawah Seksyen 5 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Pulau Pinang) 1996 pesalah berdepan denda RM3,000 atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan menyebarkan agama lain kepada orang Islam.





“Oleh sebab seksyen ini dengan jelas menyebut ia hendaklah dibicarakan di mahkamah sivil, maka penguatkuasaan dan penahanan akan dilakukan oleh pihak polis dengan bantuan penasihat undang-undang Jabatan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang.”

Zakiyuddin menjawab soalan Nor Hafizah Othman (BN-Permatang Berangan).

Terdahulu minggu ini, pihak pembangkang di Dewan Undang Negeri (DUN) Pulau Pinang membangkitkan kebimbangan berhubung penyebaran Injil dan “doa Kristian” dalam bahasa Melayu di sebuah sekolah mubaligh.

Bagaimanapun penyokong kerajaan menolak kebimbangan itu dengan berkata, isu Injil tersebut merupakan isu terpencil dan berlaku lima tahun lepas.

Berkait isu “doa Kristian” pula, ia dikatakan satu “doa umum” berhubung perpaduan.

Menurut wakil sekolah terbabit, guru agama Islam yang sepatutnya membaca doa di sekolah tidak hadir pada masa itu. FMT 

No comments:

Post a Comment