Sunday, 3 November 2019

Sudah Sampaikah Masanya Zakat Untuk Bukan Islam?





1. Zakat merupakan salah satu rukun yang diibaratkan seumpama tiang menegakkan sendi-sendi agama secara bermasyarakat. Walaupun zakat memberi kebaikan kepada individu yang menunaikannya tetapi kesannya nampak jelas di dalam mengubah kehidupan dan kedudukan ekonomi umat Islam.

2. Zakat perlu diurus dan diselenggarakan secara amanah oleh petugas-petugas zakat samada dari sudut kutipan atau pengagihan. Demi peri pentingnya pengurusan zakat itu perlu dikendalikan secara jujur dan amanah, para pekerja diperuntukkan bahagian khas di dalam kutipan zakat iaitu peruntukan amil.  Nas-nas al-Quran dan al-hadis perlu dijadikan rujukan utama di samping ijtihad ulama dijadikan sebagai pembimbing dalam mengurus zakat.


3. Allah SWT telah menentukan golongan yang berhak menerima zakat secara umum kepada lapan golongan seperti terkandung di dalam al-Quran ayat 60 surah al Taubah. Keumuman setiap kategori itu diperincikan oleh para ulama mujtahidin yang turut mengambil kira kedudukan baitul mal di dalam pengurusan negara, kedudukan dan kekuatan ekonomi umat Islam semasa itu dan berbagai faktor yang lain. Ijtihad-ijtihad ini barangkali mempunyai sedikit perbezaan berdasarkan latar masa dan tempat.

4. Salah satu golongan yang berhak mendapat zakat adalah golongan 'almuallafatu qulubuhum' atau diterjemahkan secara literal  sebagai golongan yang dijinakkan hatinya. Dalam memperincikan siapakah golongan itu, para ulama telah berijtihad. Sudah tentu ijtihad mereka juga mengambil kira beberapa faktor semasa pada zaman itu.

5. Realiti di Malaysia khususnya di negeri
Perak Darul Ridzuan, ijtihad yang dikemukakan oleh Imam As Syafie ataupun pendokong-pendokongnya di kalangan As Syafe’iah telah dijadikan sebagai medium untuk menyeragamkan amalan beragama serta digunakan untuk menguruskan hal ehwal agama termasuklah berfatwa namun tidak menafikan penggunaan mazhab lain dalam isu-isu tertentu apabila dilihat lebih “aslah” atau sesuai dengan kepentingan umum umat Islam.

6. Jika dilihat dari kitab-kitab al Syaf’iyyah, mereka tidak membenarkan menggunakan zakat kepada orang kafir. Namun jika golongan itu perlu kepada bantuan, maka boleh dibantu dengan sumber yang lain sebagaimana dinukilkan dalam Al-majmu bagi Al-imam Nawawi (m/s 6/189), Ar-raudhah (m/s 2/314) dan Ghoyah Al-qos'wiy bagi
Imam Al-baidhowi (1/391): 'Al-muallafat
Qulubuhum' ini adalah merangkumi kaum muslimin pada zaman baginda Rasulullah dan golongan kafir yang diharapkan memeluk Islam ataupun golongan kafir yang dikhuatiri kejahatanya, maka mereka (ashab syafe'iyyah) berpendapat diberikan kepada golongan kafir tersebut habuan BUKANLAH dalam bentuk ZAKAT. Ini dipraktikkan di negeri-negeri di Malaysia. Golongan susah di kalangan bukan Islam dibantu oleh berbagai-bagai agensi selain zakat. Ini disebabkan pengurusan kewangan zaman sekarang tidak seperti dahulu di mana ekonomi negara diuruskan sepenuhnya oleh baitul mal sedangkan hari ini struktur itu telah berbeza di mana instiusi
baitul mal terasing dari perbendaharaan negara sebagai satu entiti yang berbeza. Bahkan diwujudkan agensi-agensi yang fokus untuk memberi bantuan kepada yang memerlukan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sebagainya.

7. Sedikit tinjauan terhadap realiti di
Malaysia, dapat di teliti di dalam  laporan
yang disediakan oleh Unit Perancang Ekonomi melihatkan pada tahun 2016 pendapatan isi rumah kasar bulanan purata bagi kaum Bumiputera ialah RM6,267 berbanding RM8,750 untuk kaum Cina dan RM7,150 untuk kaum India. Malah kadar insiden kemiskinan mengikut kaum berdasarkan kepada
laporan yang sama pada tahun 2016 menunjukkan Bumiputera berada di tempat utama dengan 0.5 peratus diikuti kaum Cina dan India masing-masing dengan 0.1 peratus. Ini membawa kesimpulan umat Islam lebih memerlukan bantuan kehidupan. Wang zakat yang dikutip sesama mereka lebih utama untuk membantu sesama  mereka juga.

8. Instrumen zakat telah terbukti membantu kerajaan untuk menyelesaikan masalah kemiskinan di kalangan rakyat negara ini yang beragama Islam. Mereka mengumpulkan duit sesama sendiri mengikut sistem yang ditetapkan oleh Tuhan mereka dan menyelesaikan masalah yang timbul
sesama mereka.

9. Sebagai contoh di negeri Perak Darul
Ridzuan, semenjak tahun 2015 sehingga bulan September 2019 sebanyak RM63.3 juta ringgit telah dibelanjakan untuk memberi manfaat kepada  1,129 orang penerima bantuan bina rumah. Dalam tempoh masa yang sama sebanyak RM148 juta diagihkan kepada penerima yang layak di kalangan fakir miskin secara bulanan melibatkan seramai 45,649 penerima. Seramai 3,264 orang pesakit buah pinggang telah menerima bantuan hemodialisis yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM83 juta. Seramai 132,962 orang telah menerima manfaat bantuan didik dan sekolah melibatkan peruntukan sebanyak RM26 juta.

10. Daripada fakta-fakta di atas dapatlah
dibuat kesimpulan bahawa zakat hendaklah diberikan kepada umat Islam sahaja kerana realitinya kerana mereka lebih perlu untuk dibantu dengan menggunakan wang umat Islam sendiri.

Oleh: Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak

No comments:

Post a Comment