Monday, 6 January 2020

#Lunas Kantoi lepas dua bulan

SELEPAS dua bulan diburu, dua lelaki yang disyaki mencuri sebuah lori milik sebuah syarikat di Taman Lobak Indah, Lunas, di Kulim, akhirnya ditahan pada Sabtu lalu.

Suspek berusia 39 dan 43 tahun itu ditahan di sekitar Nibong Tebal, Pulau Pinang, 12.30 tengah hari.

Menurut sumber, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek mengaku terbabit dalam kes kecurian lori berkenaan.


“Suspek mengaku mencuri sebuah lori bersangkut dengan laporan yang dilakukan oleh seorang pemandu lori pada 4 November tahun lalu.

“Bagaimanapun, usaha mengesan barang kes sedang dilakukan,” katanya.

Katanya, pemeriksaan juga mendapati, dua suspek berkenaan mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau termasuk berkaitan dadah.

Terdahulu, pemandu lori yang berusia 49 tahun itu mendapati lori yang berwarna putih dan hijau hilang selepas diletakkan di kawasan terbabit sebelum membuat laporan polis.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Safuan Md Noor mengesahkan kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” katanya.

Harian Metro

No comments:

Post a Comment