Monday, 3 February 2020

Jalan-jalan Utama Sekitar Pulau Pinang ditutup sempena Thaipusam & Chap Goh Meh


Beberapa laluan utama di sekitar bandar raya ini akan ditutup secara berperingkat mulai Jumaat hingga Ahad ini, bersempena sambutan Thaipusam dan Chap Goh Meh.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasegaran, berkata bagi sambutan Thaipusam penutupan sepenuhnya akan dibuat bermula jam 7 pagi Jumaat ini hingga selesai acara pada 9 Februari membabitkan Jalan Gotlieb/Jalan Burma; Jalan Brown/Jalan Tunku Abdul Rahman, Lorong Air Terjun; Jalan dan Jalan D S Ramanathan/Jalan Gotlieb; Jalan Utama/ Hadapan Rumah No.132 dan Jalan Wright/Jalan Burma.




Berikutan itu, katanya, kenderaan yang datang dari Jalan Brook/Jalan Utama akan dilencongkan ke Jalan Macalister manakala kenderan dari Jalan Gotlieb/Jalan Burma akan dilencongkan ke Jalan Bagan Jermal.


Laluan alternatif pula akan dibuka di Jalan Masjid Negeri-Jalan Air Itam ke pusat bandar serta Lebuhraya Jelutong-Jalan Pengkalan Weld-Lebuh Light-Lebuh Farquhar ke pusat bandar.

“Perarakan bermula pada 7 Februari dan akan bergerak di Kuil Lebuh Queen melalui 12 laluan utama sepanjang 6.5 kilometer menuju ke Kuil Air Terjun. Pedati Emas akan memulakan perjalanan pada jam 6 pagi manakala pedati Perak akan bergerak pada jam 7 pagi.






“Perarakan balik pada 9 Februari pula akan melalui 23 laluan sepanjang 9.1 kilometer bermula pada jam 6 petang bagi pedati emas manakala pedati perak jam 7 malam,”katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan kehadiran satu juta pengunjung sepanjang tempoh terbabit berikutan Pulau Pinang adalah antara lokasi utama sambutan Thaipusam di negara ini.

Justeru, bagi memastikan kelancaran upacara itu, seramai 1,300 pegawai dan anggota polis dari semua cawangan akan ditugaskan sepanjang tempoh terbabit.

Katanya, pusat kawalan operasi polis juga akan dibuka di Rumah Peranginan Persekutuan mulai 7 hingga 10 Februari ini.

Sementara itu, bagi sambutan Chap Goh Meh pula, Narenasegaran berkata, penutupan jalan akan dibuat pada Sabtu, 8 Februari mulai jam 5 petang hingga acara selesai.

“Jalan yang ditutup adalah Jalan Tun Syed Sheh Barakbah/persimpangan Jalan Padang Kota Lama hingga ke bulatan jam besar. Jalan Padang Kota Lama pula akan ditutup sepenuhnya pada 8 Februari bermula jam 12.01 tengah malam hingga program selesai,” katanya.

Beliau juga berkata, seramai 10,000 orang dijangka hadir pada acara itu dan meminta kerjasama orang ramai supaya mematuhi arahan anggota bertugas bagi memastikan kelancaran trafik sepanjang laluan berkenaan

Berita Harian

No comments:

Post a Comment