Friday, 7 February 2020

Jalan raya paling cerun di dunia



Tahu tak di mana jalan raya paling cerun? Ia terletak di pinggir bandar Dunedin di New Zealand.

Terdapat sebatang jalan yang direkodkan oleh ‘Guinness Books of Records’ sebagai jalan raya paling cerun di dunia. Kecerunannya mencecah sudut 38 darjah menegak, yang mana ukuran tersebut melebihi sepuluh kali ganda kecerunan piawai jalan raya di Malaysia!

Dunedin hanyalah sebuah bandar perumahan yang masih dipenuhi dengan tumbuhan semula jadi yang menghijau. Sesuatu yang istimewa di bandar ini ialah mengenai jalan rayanya. Kebanyakan jalan-jalan di sini mempunyai tahap kecerunan yang tinggi disebabkan landskap geografinya yang berbukit.







Jalan yang diiktiraf sebagai paling curam ialah ‘Baldwin Street’, sebatang jalan yang terletak kira-kira 3.5 kilometer dari pusat bandar Dunedin. Ia diiktiraf sebagai jalan raya paling cerun di dunia dengan darjah kecerunan maksimum 38 darjah, dan purata nisbah curam 1:2.86 meter. Yakni dalam erti kata lain, untuk setiap jarak menegak 2.86 meter, perubahan ketinggian dari paras laut berlaku sebanyak satu meter. Paham ke idok kome oi? Tak paham sudahhhh...😛

Baldwin Street merupakan jalan pintasan yang menghubungkan dua jalan utama di Dunedin. Ia merupakan jalan lurus yang berukuran kira-kira 350 meter panjang, dan di kedua-dua penghujungnya merupakan simpang tiga yang bertemu dengan jalan utama Northern Road dan jalan perumahan Buchanan Street.

Titik paling rendah di jalan Baldwin ini berkedudukan 30 meter dari paras laut. Manakala titik tertinggi pula berada di ketinggian 100 meter dari paras laut. Justeru, perubahan ketinggian yang berlaku dari hujung ke hujung sepanjang 350 meter melalui jalan ini ialah sebanyak 70 meter ataupun 230 kaki.

Disebabkan itu, jalan ini diturap menggunakan konkrit untuk 200 meter yang pertama bagi memudahkan proses penyelenggaraan dan mengurangkan risiko jalan licin. Penggunaan konkrit adalah lebih praktikal dan mempunyai permukaan yang mencengkam terhadap tayar kenderaan. Berbanding jalan bitumen, ianya lebih berminyak dan mudah rosak ketika panas terik serta menjadi lebih licin ketika musim sejuk.

Kebanyakan pengguna jalan raya di Dunedin mengakui, memandu kenderaan melalui jalan ini agak sukar, terutamanya bagi pemandu-pemandu yang amatur. Faktor kecerunan yang melampau serta keadaan jalan yang kurang lebar telah menyebabkan ramai pengguna agak keberatan untuk melalui jalan tersebut. Malah, boleh dikatakan hampir tiada langsung kenderaan berat seperti lori dan bas yang menggunakan jalan Baldwin ini.

Bagi penduduk yang menghuni kawasan perumahan di sepanjang jalan ini, mereka tiada pilihan lain selain terpaksa melaluinya untuk sampai ke kediaman masing-masing. Bagaimanapun, kebanyakan mereka kurang menggunakan kenderaan sendiri dan lebih selesa menggunakan laluan pejalan kaki serta mendapatkan khidmat pengangkutan awam untuk bergerak di sekitar Dunedin.

Di beberapa lokasi lain di seluruh dunia, terdapat juga beberapa jalan yang diukur mempunyai gred kecerunan yang tinggi. Misalnya jalan Canton Avenue di Pittsburgh Pennsylvania, Amerika Syarikat dan jalan Harlech di Wales dikatakan mempunyai kecerunan yang melebihi 40 darjah. Bagaimanapun, jalan-jalan tersebut tidak diiktiraf sebagai jalan raya kerana ukuran panjangnya kurang daripada 25 meter dan ia hanya dibuka kepada kenderaan pacuan empat roda sahaja.

Setiap tahun, Baldwin Street telah menjadi lokasi acara larian tahunan, yang dikelolakan oleh masyarakat setempat. Para peserta perlu berlari menaiki cerun, dan kemudiannya turun semula ke bahagian permulaan. Acara ini telah diadakan pada setiap musim panas sejak tahun 1988, dan telah menjadi salah satu tarikan pelancong ke Dunedin.

Pada bulan Mac 2001, beberapa orang pelajar telah terlibat dalam kemalangan di jalan ini. Mereka dikatakan telah menuruni cerun di Baldwin Street dengan menaiki tong sampah beroda.

Kelajuan menuruni cerun berkenaan telah menyebabkan ‘kenderaan’ mereka hilang kawalan, seterusnya berlanggar dengan sebuah lori yang diletakkan di penghujung jalan. Seorang daripadanya meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tiga yang lain turut mengalami kecederaan parah di kepala.

No comments:

Post a comment