Monday, 10 February 2020

#PermatangPauh Polis selamatkan Kanak-kanak didera ibu tiri

Kanak-kanak 11 tahun dipercayai didera ibu tiri selama setahun di Permatang Pauh diselamatkan polis.

Mangsa mengalami kecederaan di muka, tangan, kaki dan bengkak mata didakwa dipukul dgn topi keledar & kayu.


Mangsa amarah ibu tiri

MyMetroMutakhir
Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my

KANAK-kanak perempuan berusia 11 tahun ditemui dalam keadaan menyayat hati dengan kesan kecederaan di muka dan tubuh dipercayai akibat didera di rumahnya di Flat Ampang Jajar Permatang Pauh, Bukit Mertajam.

Presiden Malaysian Tamilar Kural, David Marshel berkata, pihaknya menerima laporan daripada penduduk di perumahan itu yang curiga mendengar tangisan kanak-kanak sejak seminggu lalu.

Penduduk juga mengesyaki kanak-kanak itu dipukul dan selalu dimarahi ibu tirinya menyebabkan David meminta bantuan polis ke rumah berkenaan bagi membuat pemeriksaan.

“Semasa tiba di rumah berkenaan, bapa dan ibu tiri mangsa menghalang kami masuk dan memberi amaran supaya tidak mencampuri urusan keluarga mereka namun kedua-duanya akur selepas anggota polis mahu melakukan pemeriksaan.

“Kanak-kanak malang itu ditemui bersembunyi di belakang pintu dan dalam keadaan ketakutan serta trauma selain terdapat kesan kecederaan serius di muka sehingga kedua-dua belah matanya tidak boleh dibuka,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Mengulas lanjut, David berkata, ketika ditanya, kanak-kanak itu menjawab dia hanya disengat serangga namun curiga dengan keadaan itu, David membawa keluar kanak-kanak berkenaan daripada rumah sebelum dia menceritakan perkara sebenar yang berlaku.

David membawa mangsa ke Balai Polis Seberang Jaya bagi membuat laporan selepas kanak-kanak itu mengaku dipukul ibu tiri, sebelum dia dihantar ke Hospital Seberang Jaya bagi menjalani pemeriksaan.

“Dia luka di kepala dan tangan dipercayai didera malah dipercayai ada kecederaan lain di bahagian tubuhnya yang masih lagi dirawat,” katanya.

Difahamkan, mangsa dan seorang adiknya tinggal di rumah berkenaan bersama enam lagi adik-beradik tiri manakala ibu kandung kini berada di penjara malah kanak-kanak itu tidak pernah ke sekolah sejak kecil.

David berkata, kanak-kanak itu mendakwa dia sering dimarahi ibu tiri disebabkan kesalahan kecil, selain menjadi mangsa sekiranya adik-beradik tiri yang lain bising dan menangis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

“Ibu tiri dan bapanya yang berusia 40-an kini ditahan bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Februari 2020 @ 8:21 PM

No comments:

Post a Comment