Friday, 7 February 2020

Pulau Pinang laksana cukai pindah haiwan mulai April 2020



Kerajaan Pulau Pinang akan melaksanakan caj bayaran kadar minimum Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) dan permit pemindahan keluar/masuk semua jenis haiwan mulai 1 April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin berkata, pelaksanaan kadar minimum itu bertujuan memberi kesan ekonomi sama rata kepada penternak kecil dan komersial.

“Warta kerajaan Pulau Pinang bernombor 254 bertarikh 5 Jun 2008 mengandungi kadar caj perkhidmatan yang dikenakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar ke atas SKV dan Akuan Kebenaran Pindah Keluar/Masuk (AKPK/AKPM). Bagaimanapun, kutipan untuk pengeluaran SKV dan AKPK/AKPM tidak dilaksanakan sehingga kini.



“Kita lihat kepada keadaan semasa untuk lebih adil, terutamanya dalam kalangan penternak kecil yang membayar harga sama dengan penternak komersial,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, caj bayaran kadar minimum antara RM4 hingga RM35 seekor/konsimen itu akan dikenakan mengikut jenis haiwan, termasuk kucing, anjing, kuda, lembu/kerbau, kambing/biri-biri, rusa, babi, unggas komersial, bahan hasilan haiwan, kuda/unta, lain-lain haiwan dan hasilan haiwan serta karkas.

Katanya, penternak yang tidak mempunyai sijil AKPK/AKPM dan SKV akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 36 Akta Binatang 1953 (Semakan 2006).

Afif yang juga Adun Seberang Jaya berkata, Peraturan-peraturan Pelesenan Babi (Pulau Pinang) 2020 di bawah Enakmen Penternakan Babi Pulau Pinang 2016 akan berkuat kuasa 1 Mac ini.

“Enakmen dan peraturan ini diperkenalkan bagi mengawal aktiviti ternakan babi, khasnya dari aspek kebersihan dan kesihatan kerana sudah lama kita menyumbang kepada pencemaran terutamanya air.

“Sistem Penternakan Babi Moden di bawah Seksyen 3 Enakmen Penternakan Babi Pulau Pinang 2016 menggariskan setiap penternak perlu menaik taraf kepada sistem kandang babi tertutup, mengamalkan sistem kumbahan sifar, zon penampan dan amalan ladang ternakan baik (GAHP).”

Katanya, penternak babi perlu memohon lesen penternakan 6 bulan mulai tarikh peraturan itu dikuatkuasakan melalui Bahagian Regulatori Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang dan hanya penternak babi yang mendapat kebenaran merancang dipertimbangkan kelulusan pelesenan itu.


“Setakat ini, 111 daripada 156 permohonan ladang ternakan (babi) mendapat kelulusan bersyarat daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai. Selebihnya kita bagi peluang sehingga 31 Mei ini atau berdepan lesen tidak dikeluarkan.”

Beliau berkata, pemeriksaan dan penilaian akan dilaksanakan pegawai dilantik sebelum dipertimbangkan Jawatankuasa Pelesenan yang akan memastikan ladang babi dilesenkan mematuhi kriteria di bawah enakmen itu.

SUMBER

No comments:

Post a comment