Sunday, 9 February 2020

#SeberangJaya Suami maut, isteri cedera dirempuh pemandu mabuk

Seorang pekerja kilang maut manakala isterinya parah selepas motosikal mereka dirempuh kereta dipandu lelaki dipercayai di bawah pengaruh alkohol dalam kejadian di Kilometer 140.2 Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke utara berhampiran susur Perai di sini pagi tadi.


Dalam kejadian jam 5.05 pagi itu, mangsa, Khairizul Mohamad Noor, 38, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Isterinya, Zuriana Hasan, 35, yang turut mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk menerima rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal di lorong kiri sebelum kereta yang dipandu lelaki berusia 33 tahun merempuh mereka dari belakang.




 Menurutnya, akibat kejadian itu kedua-dua mangsa tercampak ke atas jalan raya, manakala pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat, manakala isterinya kini dilaporkan masih belum sedarkan diri dan berada dalam keadaan kritikal.

"Pemandu kereta berkenaan telah ditahan untuk siasatan dan ujian pernafasan menggunakan mesin Evidential Breath Analyzer (EBA) mendapati lelaki tersebut memandu di bawah pengaruh alkohol," katanya ketika dihubungi di sini.

Dalam pada itu, Nik Ros Azhan meminta kerjasama orang ramai atau saksi yang melihat kemalangan itu agar tampil bagi membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis di mana-mana balai polis berdekatan.

Sementara itu, salah seorang ahli keluarga mangsa yang ditemui di Unit Forensik HSJ berkata, pasangan suami isteri itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Butterworth selepas keluar makan bersama dua lagi adik mereka malam tadi.

Menurutnya, Zuriana masih belum sedar dan dia juga tidak tahu suaminya telah meninggal dunia.

Difahamkan, pasangan berkenaan mempunyai lima anak yang masih kecil.

Jenazah Khairizul telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Hj Mohd Saad, di sini petang tadi.

SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment