Friday, 27 March 2020

Pulau Pinang beri sanitizer kepada semua pangsapuri

 Kerajaan Pulau Pinang hari ini mengumumkan akan memberikan pensanitasi percuma kepada semua rumah pangsa, pangsapuri dan kondominium sebagai langkah memerangi penularan Covid-19.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pensanitasi itu akan diberikan kepada setiap badan pengurusan bersama atau perbadanan pengurusan melalui wakil rakyat masing-masing.

Pensanitasi itu akan diletakkan di lobi dan pintu masuk setiap bangunan terbabit. Ia akan disediakan dalam beberapa minggu akan datang.

Chow juga berkata termometer inframerah akan dihantar ke majlis perbandaran tempatan untuk digunakan oleh petugas barisan hadapan.


Beliau turut mengumumkan kerajaan di bawah pentadbirannya menyerahkan lebih 70,000 sarung tangan perubatan dan 30 set peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Hospital Pulau Pinang, yang disumbangkan oleh syarikat Top Glove.

Chow mengumumkan perkara itu ketika siaran langsung menerusi Facebooknya hari ini.

Beliau berkata butiran mengenai pinjaman tanpa faedah untuk perniagaan kecil akan diumumkan pada 31 Mac oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

Ini adalah sebahagian daripada pakej rangsangan RM75 juta, termasuk bantuan tunai dan pengecualian cukai yang diumumkan semalam, yang disediakan bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan peniaga kecil.

“Mereka yang merasakan tidak menerima pakej rangsangan boleh merasa yakin bahawa kami memperuntukkan RM30,000 dalam dana kecemasan kepada semua Adun termasuk pembangkang, untuk membantu rakyat di kawasan mereka,” kata Chow.

awani

No comments:

Post a Comment