Monday, 23 March 2020

Thailand tutup pintu sempadan dengan Malaysia

Jabatan Kastam Diraja Malaysia memaklumkan bermula malam semalam kerajaan Thailand menutup semua 9 pintu sempadan darat/air negara itu dengan Malaysia.

Dalam satu kenyataaan, ia berkata penutupan pintu sempadan itu juga dilaksanakan bagi semua negara yang berjiran dengan Thailand seperti Laos, Kemboja dan Myanmar.

“Penutupan ini adalah sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

“Maklumat ini disampaikan oleh Duta Besar Thailand ke Malaysia kepada setiausaha Bahagian Asia Tenggara,” katanya, merujuk kepada pasukan petugas Covid-19 Kementerian Luar Negara





Kastam berkata, sepanjang penutupan sementara pintu sempadan, semua warga Thailand dan warganegara asing tidak dibenarkan keluar atau masuk ke Thailand melalui pintu sempadan darat/air.

Katanya, rakyat Thailand di Malaysia yang ingin pulang ke negara asal hanya dibenar menggunakan laluan udara sahaja.

“Warganegara Malaysia yang ingin pulang ke negara ini juga hanya dibenarkan menggunakan laluan udara,” katanya.

Kastam berkata, bagi pergerakan barang-barang pula, hanya satu pintu sempadan darat/air di setiap wilayah bersempadan dengan Malaysia akan dibuka, iaitu:

Wilayah Songkhla: Pintu Sempadan Sadao – Bukit Kayu Hitam (Kedah);
Wilayah Narathiwat: Pintu Sempadan Sungai Golok – Rantau Panjang (Kelantan);
Wilayah Satun: Pintu Sempadan Wang Prachan – Wang Kelian (Perlis);
Wilayah Satun: Jeti Thammalang – Jeti Kuala Perlis (Perlis);dan
Wilayah Yala: Pintu Sempadan Betong – Pengkalan Hulu (Perak)
Ia berkata, pergerakan barang-barang akan beroperasi seperti biasa dengan syarat tambahan, iaitu hanya seorang pemandu (warganegara Malaysia) dibenarkan untuk 1 kenderaan berat, kecuali di pintu masuk Wilayah Satun (pemandu dan kelindan).

Katanya, ini juga tertakluk kepada keputusan pemeriksaan kesihatan mandatori di pintu sempadan.

“Untuk pergerakan barang menerusi Jeti Thammalang – Jeti Kuala Perlis, hanya 5 orang krew dibenarkan untuk satu bot. dan tertakluk kepada keputusan saringan kesihatan.

No comments:

Post a Comment