Friday, 27 March 2020

virus Hantavirus pula serang China

Baru sahaja pandemik COVID-19 mula menurun di China, tiba-tiba dunia dikejutkan lagi dengan virus terbaru dikenali sebagai 'HantaVirus'.

Menurut portal berita Anadolu China, seorang rakyat negara itu dilaporkan maut akibat hantavirus.

Mangsa pertama Hantavirus itu merupakan seorang lelaki berasal dari wilayah barat daya Yunnan.

"Seorang lelaki dari Wilayah Yunnan meninggal dunia ketika dalam perjalanan pulang ke Wilayah Shandong untuk bekerja di dalam sebuah bas disewa pada Isnin lalu," petik portal berkenaan.


Tambahnya, 32 lagi penumpang bas itu kemudian menjalani saringan kesihatan, namun maklumat mengenai keputusan ujian terbabit tidak dinyatakan.



Penyakit bawaan virus itu kali pertama dilaporkan di Amerika Syarikat (AS) pada 1993 di mana ia dipindahkan kepada manusia oleh tikus.


Menurut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit berpangkalan di AS, pemindahan virus itu daripada manusia kepada manusia tidak pernah ditemui kecuali di Argentina pada 1996 apabila wujud pandangan bahawa 'hantavirus di Amerika Selatan boleh dipindahkan daripada manusia kepada manusia'

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 31 Ogos 2012, Pejabat Kesihatan Awam Taman Negara (NPS) melaporkan enam kes sindrom pulmonari Hantavirus (HPS) di kalangan pelawat ke Taman Negara Yosemite di California, Amerika Syarikat. Dua daripada enam kes itu menyebabkan kematian.


HPS adalah penyakit yang jarang ditemui, tetapi serius dan disebabkan oleh air kencing, najis, atau air liur tikus yang dijangkiti. Tikus rusa adalah tuan rumah utama virus ini. 

Penyakit ini bermula dengan demam, menggigil, sakit otot, dan/atau gejala gastrointestinal, tetapi boleh berkembang dengan pesat ke penyakit yang mengancam nyawa. 


Gejala HPS biasanya berlaku dua hingga empat minggu selepas pendedahan awal kepada virus itu. Walau bagaimanapun, gejala boleh muncul seawal satu minggu dan sehingga enam minggu selepas pendedahan. 

Bagaimanapun, penyebaran Hantavirus dari manusia ke manusia belum dilaporkan di Amerika Syarikat.


Kes-kes hantavirus datang pada masa apabila jumlah kiraan mereka yang dijangkiti oleh coronavirus novel di seluruh dunia mencecah 400,000 dan saintis masih belum dapat menyembuhkannya. 

Semoga kita dijauhi dari virus ini, teruskan duduk di rumah dan jangan keluar tanpa tujuan sehingga ada arahan terbaru dari Kerajaan.

No comments:

Post a Comment