Sunday, 24 May 2020

#covid19 Penjarakan sosial ketika ziarah raya hampir mustahil, pakar beri amaran

 Pakar kesihatan bimbang tindakan kerajaan membenarkan ziarah pada hari pertama raya Aidilfitri membawa risiko peningkatan kes Covid-19.


Pakar runding kanak-kanak Datuk Profesor Dr Zulkifli Ismail berkata penjarakan sosial mustahil dalam suasana sambutan perayaan.


“Kita perlu realistik. Apabila keluarga berkumpul, penjarakan sosial mungkin berjaya dalam tempoh beberapa jam pertama tetapi lama kelamaan mereka akan lupa garis panduan itu,” katanya kepada Malay Mail.

Setiausaha agung Persatuan Pediatrik Asia Pasifik itu berkata ahli keluarga biasanya bersembang semasa berkumpul malah bercakap secara kuat dalam rumah yang padat.


Memetik kajian, katanya hal itu menyebabkan titisan air akan tersebar dan berlegar di ruang udara yang dikongsi dengan ahli keluarga lain.




“Jika titisan air ini mengandungi virus, begitulah cara ia tersebar,” katanya.

Katanya cukup hanya seorang individu yang tidak bergejala, terutamanya kanak-kanak, menyebarkan virus kepada tetamu lain selepas berswafoto atau menyentuh makanan di meja hidangan.

Jadi bagaimana mahu memastikan kesihatan semasa menerima tetamu?

Bagi meminimumkan risiko, pakar berkata tiada cara lain melainkan patuh kepada garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Keluarga Dr Dri Wahyu Taher menggesa agar jumlah tetamu yang menziarah dihadkan.

“Setiap rumah perlu sediakan cecair pembasmi kuman, mengesan suhu badan sebelum menerima tetamu masuk dalam rumah dan mengehadkan jumlah tetamu.

“Tetamu juga dinasihatkan agar memakai pelitup muka dan mengekalkan jarak, jika tidak raya sahaja dengan ahli keluarga yang tinggal serumah,” tambahnya.

Beliau juga menasihatkan golongan warga emas, bayi, kanak-kanak dan individu yang ada masalah kesihatan agar membatalkan hasrat untuk beraya.

“Jika dalam rumah itu ada individu yang berisiko tinggi, mereka tidak perlu menerima tetamu.

“Mereka yang baru pulang daripada zon merah, luar negara dan negeri lain perlu kuarantin diri dan elakkan berjumpa orang lain,” katanya.



Doktor kesihatan awam Dr Aidalina Mahmud pula berkata mereka yang ingin menziarahi saudara mara perlu ada pemahaman yang tinggi tentang pentingnya penjarakan sosial dan disiplin diri.

Katanya tuan rumah perlu menentukan jumlah tetamu yang boleh muat dalam rumah pada satu masa.

“Buat sistem temu janji bagi mengelakkan kesesakan.

“Tuan rumah boleh memaklumkan kepada keluarga masa lawatan yang diperuntukkan (contoh antara 10 pagi hingga 3 petang sahaja), maksimum masa sejam dan 15 minit masa senggang untuk sanitasi rumah,” katanya.

Namun beliau masih ragu-ragu sama ada rakyat Malaysia mampu mematuhi garis panduan dengan betul semasa menyambut perayaan.

“Saya percaya, malangnya majoriti rakyat Malaysia tidak mempunyai cukup pengetahuan, pandangan dan sikap untuk mengamalkan penjarakan sosial,” katanya.

Disebabkan itu, katanya adalah terbaik jika tidak menyambut perayaan secara fizikal, sebaliknya secara maya tanpa perlu risau tentang pelitup muka atau membasuh tangan

MMO

No comments:

Post a comment