Friday, 8 May 2020

#Georgetown Operasi bas Rapid Penang beroperasi penuh

Perkhidmatan Bas Rapid Penang yang kekerapannya dikurangkan sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, beroperasi sepenuhnya mulai hari ini, kata Ketua Operasi Rapid Bus Sdn Bhd Ahmad Shabuddin Abdullah.


Menurutnya bermula hari ini, semua 240 bas Rapid Penang akan mula beroperasi sepenuhnya di semua laluan, dengan waktu operasi telah ditetapkan antara 5.30 pagi hingga 11 malam setiap hari, selaras dengan Pelaksanaan Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang, yang bermula hari ini sehingga 13 Mei.

“Perkhidmatan bas Rapid Penang akan beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) di mana bilangan penumpang dalam sesebuah bas telah dikurangkan, untuk tujuan jarakan sosial. Bas besar dengan panjang 12 meter hanya akan ambil jumlah 23 penumpang manakala bas 10 meter hanya akan muat 19 penumpang,” katanya kepada pemberita, selepas mengadakan tinjauan di terminal bas Rapid Penang di Weld Quay, di sini hari ini.



Beliau juga menasihati semua penumpang agar memakai pelitup muka, ketika menggunakan perkhidmatan bas dan mengikut arahan notis tempat duduk yang perlu dikosongkan di tempat duduk dan juga tempat berdiri.

Jelasnya, sekiranya terdapat bilangan penumpang yang beratur untuk menggunakan bas lebih dari ditetapkan, pemandu bas akan meminta penumpang, menunggu bas yang seterusnya.

“Kami akan menggunakan tempoh seminggu ini untuk memantau bilangan penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas, dan sekiranya bilangan penumpang tidak begitu banyak, bilangan bas yang beroperasi mungkin akan dikurangkan pada minggu seterusnya,” katanya.

Menurutnya, semua pemandu bas wajib melakukan pemeriksaan suhu badan sebelum mereka memulakan tugas setiap hari, dan hanya pemandu yang sihat dan lulus saringan kesihatan sahaja dibenarkan memandu bas.

“Kami juga akan melakukan cucian dalaman dan disinfeksi untuk membasmi kuman setiap hari, terutama di kawasan yang sering diguna dan disentuh penumpang,” katanya.

Bagaimanapun Ahmad Shabuddin berkata, semua laluan ‘Congestion Alleviation Transport’ (CAT) dan ‘Central Area Transit’ Majlis Bandaraya Pulau Pinang, tidak akan beroperasi sehingga dimaklumkan kelak. — Bernama

No comments:

Post a comment