Sunday, 24 May 2020

PPBM Pulau Pinang kekal dengan PH,kata Marzuki selepas 2 Adun sokong PN


PPBM Pulau Pinang akan terus menyokong Pakatan Harapan selepas 2 Adunnya mengumumkan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Ketua PPBM Pulau Pinang, Marzuki Yahya berkata, Adun Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dan Adun Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim mengumumkan sokongan mereka kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin atas kapasiti individu.

Katanya, PPBM negeri itu “menyokong penuh” kerajaan Pulau Pinang pimpinan PH.

“Dua ahli ini nampaknya sudah lupa sokongan PH yang menyebabkan mereka memenangi kerusi masing-masing.

“Jika mereka mahu menjadi sebahagian daripada pembangkang negeri, maka itu ialah keputusan peribadi mereka,” kata naib pengerusi PH Pulau Pinang itu kepada FMT.


Ketua Pemuda PKR negeri, Fahmi Zainol berkata ketua menteri patut mengarahkan 2 Adun itu mengosongkan kerusi mereka kerana melanggar undang-undang anti-lompat parti di bawah perlembagaan Pulau Pinang.

Semalam, media melaporkan Khaliq dilantik sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), manakala Zolkifly menganggotai lembaga penasihat Mara Corp Sdn Bhd.

Khaliq ketika dihubungi berkata: “Saya menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri dan presiden parti itu. Saya hanya mematuhi keputusan parti.”

Zolkifly bagaimanapun tidak menjawab pertanyaan untuk komen.

Pada 27 Feb lalu, Setiausaha Politik ketua menteri Pulau Pinang, Teh Lai Heng mengeluarkan kenyataan memaklumkan 2 Adun PPBM menyuarakan sokongan kepada kerajaan PH negeri walaupun perubahan kerajaan di peringkat persekutuan.

Sokongan 2 Adun itu kepada PN tidak mengubah majoriti diraih PH di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. Gabungan berkenaan mempunyai 34 kerusi dengan DAP memiliki 19 kerusi, PKR (13) dan Amanah (2).

Angka itu turut mengambil kira bekas exco negeri daripada PKR, Dr Afif Bahardin yang menyokong PN.

Umno dan PPBM kini masing-masing mempunyai 2 kerusi, manakala PAS memiliki satu kerusi. Secara keseluruhan, PN mempunyai 6 kerusi di negeri itu.

Marzuki berkata, dakwaan 2 Adun itu yang PPBM “di blok pembangkang” adalah salah.

Zolkifly dilaporkan berkata, PPBM Pulau Pinang kini ialah parti pembangkang.

Sementara itu, Bendahari DAP Pulau Pinang dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai berkata 2 Adun itu perlu melepaskan semua keistimewaan dan peruntukan lain yang diberikan kepada pusat khidmat mereka.

Katanya, mereka juga perlu segera melepaskan jawatan yang dipegang dalam syarikat berkaitan kerajaan di negeri itu.

Beliau berkata, ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di bawah 2 kawasan Adun itu perlu dirombak semula kerana ia buat berdasarkan pelantikan politik.

Katanya, begitu juga bagi ahli pihak berkuasa tempatan.

“Mereka perlu segera memaklumkan speaker DUN berhubung keputusan mereka.”

FMT

No comments:

Post a Comment