Thursday, 25 June 2020

JAPANESE ENCEPHALITIS (JE) : KES TERBARU DI PULAU PINANG

JAPANESE ENCEPHALITIS (JE) : KEJADIAN KES JAPANESE ENCEPHALITIS DI PULAU PINANG

Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) ingin memaklumkan bahawa terdapatnya wabak Japanese Encephalitis (JE) yang sedang berlaku di dalam negeri dengan sebanyak dua (2) kes telah didaftarkan. Kedua-dua kes berkenaan dikenal pasti dari lokaliti Sungai Bakap, daerah Seberang Perai Selatan. Kes terakhir penyakit bawaan nyamuk ini dilaporkan di Pulau Pinang adalah pada tahun 2018.

Sehubungan itu, semua fasiliti kesihatan mengambil langkah waspada dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam pengesanan kes baharu Japanese Encephalitis (JE) khususnya dari lokaliti Sungai Bakap dan amnya daerah Seberang Perai Selatan. Fasiliti kesihatan akan melaporkan segera kes-kes yang disyaki kepada Pejabat Kesihatan Daerah bagi membolehkan aktiviti kawalan dilaksanakan secepat mungkin bagi membendung penularan wabak penyakit ini.

Kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Selatan juga turut melaksanakan pengesanan kes secara aktif dengan melakukan kunjungan ke rumah-rumah di sekitar kes dan mengenal pasti sekiranya terdapat individu yang mengalami demam berserta dengan simptom neurologi seperti sakit kepala, tanda meningisme, pengsan, disorientasi, koma, gegaran anggota, lumpuh, kekejangan otot dan kehilangan koordinasi yang bermula daripada tarikh 12 Mei 2020.

Memandangkan penyakit ini disebarkan melalui gigitan nyamuk Culex, kegiatan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk, semburan larvasiding dan semburan kabus akan dilaksanakan di lokaliti berkenaan bagi memutuskan rantaian jangkitan penyakit dengan membunuh jentik-jentik dan juga nyamuk dewasa.

Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang ingin menasihati masyarakat umum untuk mengambil langkah-langkah bagi menghentikan penularan penyakit JE seperti berikut :

i)  Melakukan pemeriksaan dalam rumah dan kawasan sekitar bagi menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk. Ubat pembunuh jentik-jentik nyamuk boleh diperolehi daripada klinik-klinik kesihatan kerajaan.

ii) Menjalankan gotong-royong pembersihan di kawasan rumah sendiri dan sekitar sambil mengamalkan prinsip 3S iaitu elakkan sesak, sempit serta sembang secara dekat bagi menghapuskan bekas atau tempat berpotensi pembiakan nyamuk.

iii) Memberikan kerjasama dengan membenarkan anggota kesihatan membuat pemeriksaan dan menjalankan semburan kabus di dalam rumah.

iv) Mencegah gigitan nyamuk dengan menggunakan mosquito repellent atau baju/seluar panjang berwarna cerah semasa menjalankan aktiviti di luar rumah dan melakukan semburan aerosol di dalam rumah atau memasang skrin pada tingkap.

v) Mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital apabila mengalami demam dan tanda-tanda penyakit seperti yang dinyatakan di atas.

#jknpenang
#JE

No comments:

Post a comment