Monday, 29 June 2020

Pemuda UMNO desak tindakan diambil terhadap buku hina jata negara

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penulis, penyunting dan penerbit sebuah buku yang didakwa merendah-rendahkan martabat jata negara dan menghina lambang rasmi kedaulatan Malaysia.

Asyraf berkata, buku bertajuk “Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia” mempamerkan sebuah logo mirip jata negara, yang didakwanya sudah diubah suai dan dijadikan penghias muka hadapan buka berkenaan.

“Lukisan mirip jata negara itu meletakkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang, serta mengubah suai bentuk 2 ekor harimau, selain menambahkan bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya,” katanya dalam satu kenyataan, di Facebook hari ini.

Beliau berkata, Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 3 tahun dan denda sehingga RM20,000 bagi kesalahan penggunaan lambang negara, termasuk jata negara secara tidak wajar.



“Nampaknya akta yang baru dipinda dengan meningkatkan hukuman 20 kali ganda pada tahun 2016 belum cukup menggerunkan bagi sesetengah pihak sehingga sanggup secara terbuka membuat penghinaan terhadap lambang rasmi negara melalui penerbitan buku sebegini,” katanya.

Asyraf turut menggesa Kementerian Dalam Negeri mengambil langkah segera menggantung penerbitan dan pengedaran buku ini bagi mengelakkan ia terlepas ke luar negara, seterusnya menjatuhkan imej negara di mata masyarakat dunia.

“Pemuda Umno dengan ini mendesak supaya penulis, penyunting dan penerbit buku ini disiasat dan diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa jika benar terbukti wujud motif untuk berlaku biadab dan menghina lambang rasmi negara,” katanya.

FMT

No comments:

Post a comment